Wong Shu Qi dan Lim Hong SiangVIDEO Puluhan orang yang berbaju hitam-putih, dengan perkataan "1 Muted Malaysia" pada topeng muka (mask) -nya bersiar-siar di Pusat Membeli Belah Suria KLCC pada petang ini, sebagai tanda protes terhadap kekangan kebebasan bersuara yang berlaku sejak kebelakangan ini.
Aktiviti "Flash-Mob"(muncul dan hilang) ini dirancangkan pada mulanya untuk berkumpul di depan pintu kedai buku Kinokuniya pada jam 2.45 petang, dan kemudian memakai topeng muka bersama-sama. Bagaimanapun, rancangan asal ini digagalkan apabila pegawai keselamatan KLCC berunding dengan penganjurnya, Josh Hong dan Wong Chin Huat sebelum mereka bertindak.
Meskipun Josh Hong menegaskan bahawa pengunjung berhak untuk berkumpul di dalam KLCC, dan memakai topeng muka jikalau tidak sihat, namun pegawai keselamatan tetap tidak membenarkan mereka berkumpul untuk tempoh yang lama.
Oleh itu, kira-kira 20 orang peserta memilih untuk bersiar-siar secara aman, malah secara senyap dari tingkat ke tingkat, sambil diambil gambar dan video oleh wartawan. Sementara itu, beberapa orang pegawai keselamatan mengiringi peserta-peserta ini, lantas menarik lebih perhatian daripada pengunjung dan pelancong yang lain di dalam pusat beli-belah tersebut.
Akhirnya, pada kira-kira jam 3.30 petang, mereka tiba di kolam air di perkarangan KLCC. Beberapa orang daripada mereka mula membaca surat khabar arus perdana secara "terbalik", sambil menjelaskan kepada orang yang lalu di situ bahawa "inilah caranya orang Malaysia membaca akhbar."
Kita menuntut hak dan kebebasan, Josh Hong
Selepas mengumumkan tamatnya aktiviti tersebut, Josh Hong berkata kepada media bahawa beliau melihat tindakan yang bersiri seperti larangan ceramah Pergerakan Mahasiswa Fahmi Reza oleh pihak berkuasa, rampasan buku berjudul Body to Body dan kartun, sehinggalah tindakan terhadap stesen radio 98.8 baru-baru ini sebagai pencabulan kebebasan bersuara.
"Tiada orang yang berkuasa untuk memberitahu kita, apa yang harus kita baca, apa yang tidak harus dibaca. Melainkan diri kita sendiri, tiada orang yang berkuasa untuk menentukan apa yang harus dan yang tidak kita dengar. Sebagai seorang warga Malaysia, kita menuntut kembali hak dan kebebasan yang harus ada pada diri kita," kata Josh Hong (gambar kanan).
Meskipun bilangan peserta tidak ramai, namun penganalisa politik ini menganggap rakyat telah berani untuk tampil ke depan dan menyatakan ketidakpuasan mereka.
Wong Chin Huat yang juga seorang pengkaji politik pula berkata, memakai topeng muka, membaca akhbar secara terbalik adalah sesuatu yang boleh dilakukan oleh mana-mana komuniti pada bila-bila masa, sebagai reaksi kepada isu-isu tertentu.
No comments:
Post a Comment