Kamera keselamatan muzium rosak
KAHIRAH: Kamera-kamera keselamatan dan penggera kecemasan di sebuah muzium di Kahirah, tempat dipamerkan sebuah lukisan Van Gogh bertajuk 'Poppy Flowers' dianggarkan bernilai lebih AS$50 juta ($67.7 juta) yang telah dicuri, rosak 'sejak sekian lama', kata seorang pegawai semalam.
'Kamera-kamera telah rosak sejak sekian lama dan begitu juga dengan sistem penggera,' kata seorang pegawai keselamatan kepada agensi berita AFP. Beliau mendedahkan 'kelemahan' ini dengan syarat namanya tidak didedahkan, sambil menambah bahawa ia tidak menunjukkan imej lukisan tersebut. -- AFP.
Tabung DNA tangani kes buang bayi?
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia akan mengkaji keberkesanan mewujudkan tabung Asid Deoksiribonukleik (DNA) bagi setiap bayi yang baru dilahirkan dalam menangani kejadian isu pembuangan bayi yang semakin berleluasa pada masa kini.
Menteri Dalam Negeri Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, berkata bahawa sebarang pendekatan baru boleh diwujudkan bagi menyelesaikan sesuatu kes jenayah selain membantu kes-kes jenayah lain. -- Bernama.
Lebih 120,000 mangsa banjir dipindah
BEIJING: Lebih 120,000 penduduk dipindahkan di bahagian timur laut China berikutan banjir besar yang telah pun mengorbankan empat jiwa dan memaksa pemindahan ribuan lagi di kawasan berdekatan Korea Utara itu.
Hujan lebat musim panas telah meningkatkan paras air di Sungai Yalu, yang membentuk sempadan antara kedua-dua negara itu dan para peramal memberi amaran lebih banyak kejadian hujan lebat bakal berlaku. -- AFP.
No comments:
Post a Comment