Pages

Tuesday, August 3, 2010

Israel dan Jordan kena bedilan roket 'misteri'

BAITULMAKDIS: Sekurang-kurangnya lima roket dilepaskan semalam menuju pusat peranginan Eilat di selatan Israel, tetapi lima orang di pelabuhan Aqaba, selatan Jordan, yang cedera, kata para pegawai.

Polis Israel berkata serangan itu berlaku sekitar 7.45 pagi tetapi tiada sebarang kerosakan atau kecederaan dilaporkan di sekitar Eilat.

Pada masa sama sebutir roket jenis Grad menghentam Aqaba, 10 kilometer dari Eilat, menyebabkan lima orang cedera, seorang daripada mereka parah.

Seorang pegawai Jordan berkata siasatan menunjukkan roket itu dilepaskan dari satu lokasi di barat daya Aqaba, iaitu gurun Sinai di Mesir.

Di Israel, ketua polis Eilat, Encik Moshe Cohen, berkata laporan awal menunjukkan roket itu dilepaskan dari 'selatan', iaitu Semenanjung Sinai, yang terletak 10 kilometer ke selatan Eilat.

'Ada kemungkinan roket itu dilepaskan dari arah Mesir,' kata satu sumber Israel kepada AFP.

Bagaimanapun, seorang pegawai keselamatan Mesir menafikan semalam serangan itu dilancar dari gurun Sinai.

'Roket itu tidak datang dari Sinai. Untuk melancar roket dari Sinai memerlukan logistik dan peralatan. Itu sukar dilakukan memandangkan ada pasukan keselamatan di Semenanjung Sinai,' kata sumber berkenaan.

'Pasukan keselamatan kami berada di Sinai, terutama dekat sempadan Mesir-Israel. Tiada sebarang kegiatan mencurigakan dilaporkan di manamana tempat di Sinai,' tegas beliau.

Jurucakap polis Israel, Encik Mickey Rosenfeld, memberitahu AFP 'empat atau lima' letupan kedengaran di sekitar Eilat pada 7.45 pagi.

'Ia nampaknya disebabkan oleh roket,' ujar Encik Rosenfeld, yang berkata dua roket jatuh di laut manakala satu di kawasan terbuka sekitar Eilat.

Sementara itu di Jaluran Gaza, 33 penduduk Palestin cedera awal semalam oleh satu letupan misteri di kem pelarian Deir al Balah di selatan bandar Gaza, kata pegawai perubatan Palestin.

Letupan berlaku di rumah seorang aktivis sayap bersenjata Hamas, menyebabkan seorang wanita cedera parah dan penghuni lain cedera ringan.

Pasukan keselamatan Hamas berkata rumah itu diserang Israel, tetapi jurucakap tentera Israel menafikannya dan berkata tentera Israel tidak melancarkan sebarang operasi. -- AFP.





No comments:

Posting Terkini