Pages

Tuesday, August 3, 2010

Korban mungkin cecah 3,000

PESHAWAR: Sehingga 3,000 orang mungkin terkorban dalam banjir kilat yang melanda wilayah barat laut Pakistan, manakala 27,000 orang lagi masih terkandas dan menunggu dipindahkan.

Kebimbangan semakin meningkat semalam tentang kemungkinan merebaknya penyakit di kalangan 1.5 juta penduduk yang terjejas oleh banjir paling buruk dalam tempoh 80 tahun.

'Angka korban mungkin mencapai setinggi 3,000 orang di- sebabkan kemusnahan yang begitu besar,' kata Encik Mujahid Khan, ketua jurucakap bagi Perkhidmatan Menyelamat Edhi, sewaktu angka korban sudah melebihi 1,200 orang semalam.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam berkata operasi bantuan terhalang di- sebabkan banyak jambatan dan jalan raya utama musnah atau dihanyutkan air, sehingga 27,000 penduduk yang terkandas belum dapat dipindahkan.

'Operasi menyelamat merupakan keutamaan di Khyber Pakhtunkhwa, tempat 27,000 penduduk masih menunggu dipindah keluar dari kawasan yang dilanda banjir,' kata Pejabat PBB bagi Penyelarasan Ehwal Kemanusiaan (Uncha).

Penyelaras Uncha, Encik Martin Magwanja, terpaksa menaiki helikopter untuk ke Nowshera dan Charsadda kerana jalan raya tidak dapat digunakan.

Lawatan ke daerah Swat dan Shangla terpaksa dibatalkan disebabkan cuaca terlalu buruk.

Di Charsadda, pasukan PBB mendapati lapan kemudahan kesihatan semuanya rosak.

Rumah dan jambatan ranap, kawat elektrik hidup jatuh ke dalam air dan ada keluarga yang hilang dihanyutkan arus deras.

'Kami nampak penduduk sedang lemas tetapi kami tak dapat menolong mereka kerana arus yang terlalu deras,' kata Encik Khan dua hari yang lalu.

'Operasi bantuan oleh semua pihak digabungkan cuma 5 peratus daripada keperluan,' kata beliau.

Perdana Menteri Pakistan, Encik Yousuf Raza Gilani, yang melawat kawasan banjir, mengarahkan ribuan askar membantu menyelamat mangsa banjir dan menghantar bekalan makanan kepada mereka yang kini berada di pusat pemindahan.

Para pegawai kini bimbang kekurangan air minum boleh merebakkan penyakit.

Menteri kesihatan wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Syed Zahir Ali Shah, menganggarkan 100,000 penduduk, kebanyakan mereka kanak-kanak, sudah dijangkiti 'gastroenteritis' dan kolera.

Banjir dijangka sampai ke wilayah Sindh dalam masa beberapa hari lagi, kata Menteri Penerangan Encik Sumsam Bokhari.

Pemerintah setempat mengarahkan penduduk di tebing Sungai Indus dipindahkan.

Askar-askar yang dilengkapi jaket pelampung, motobot dan rakit getah dikerah memindahkan mangsa banjir ke tempat selamat.

'Bekalan makanan mulai habis. Kami sudah dua hari tidak makan dan makanan yang masih tinggal untuk wanita dan kanak-kanak mungkin tidak mencukupi,' kata Encik Mehmood Khan, seorang ketua suku kaum melalui telefon dari Wana, di Waziristan Selatan. -- Agensi.





No comments:

Posting Terkini