Pages

Tuesday, August 3, 2010

Bali dilanda wabak penyakit anjing gila

JAKARTA: Wabak penyakit anjing gila sedang melanda pulau perangin Bali, lapor akhbar setempat semalam.

Sejauh ini 78 orang dilaporkan mati akibat penyakit itu sepanjang dua tahun lalu.

Ini termasuk seorang wanita berusia 40 tahun yang mati seminggu lalu. Tetapi banyak kematian lain mungkin tidak dilaporkan.

Pemerintah Indonesia berkata ia terkejut dengan lebih 30,000 gigitan anjing yang dilaporkan berlaku sepanjang separuh tahun ini saja di seluruh Bali.

Langkah pegawai menghapuskan sekitar 200,000 ekor anjing dikritik banyak pihak kerana padahal Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan haiwan itu diberi suntikan vaksin, lapor akhbar Jakarta Globe.

Masalahnya ialah pegawai perubatan menghadapi kekurangan vaksin bagi menangani wabak itu.

'Kami menghadapi masalah serius kerana kami kekurangan vaksin penyakit anjing gila bagi pesakit.

'Kami kekurangan rawatan dan perlukan bantuan,' kata Encik Nyoman Sutedja, ketua pejabat Kementerian Kesihatan di Bali.

Hospital-hospital di Bali mengalami kekurangan vaksin sejak wabak itu bermula.

Meskipun suntikan boleh didapati di kedai ubat, kebanyakan penduduk di Bali tidak mampu membayarnya.

'Hal yang amat menyedihkan ialah mereka akan pergi ke hospital, tetapi disuruh pulang kerana doktor tidak ada vaksin.

'Lalu pesakit pun pulang untuk menunggu saat kematian,' kata Cik Janice Girardi, seorang warga Amerika yang mengendali Persatuan Kebajikan Haiwan Bali (Bawa).

Sejauh ini persatuan itu telah menyuntik vaksin ke atas 45,000 anjing.

Baru-baru ini ia menerima dana bagi menjalankan kempen ke seluruh pulau peranginan itu.

Beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, telah mengeluarkan amaran perjalanan dan menasihati rakyat masing-masing supaya mendapatan suntikan vaksin pelalian penyakit anjing sebelum melawat Bali, dan menghindari anjing apabila berada di sana.

Sejumlah pelancong asing dilaporkan turut digigit anjing di Bali, tetapi sejauh ini belum ada kematian.

Suntikan yang diberi sebaik saja seseorang terkena air liur anjing berpenyakit boleh mencegah kematian.

Tetapi sebaik saja gejala penyakit muncul, rawatan tidak lagi berkesan. -- Agensi.


No comments:

Posting Terkini