NEW YORK: Seramai 40 jutawan Amerika Syarikat kelmarin berikrar akan menderma setidak-tidaknya separuh daripada harta mereka sebagai menyokong kempen yang dilancarkan dua jutawan terkaya di dunia - Encik Bill Gates dan Encik Warren Buffett.
'Empat puluh keluarga dan individu terkaya di Amerika Syarikat berikrar akan mendermakan sebahagian besar harta mereka untuk tujuan amal,' kata satu kenyataan yang disiarkan oleh www.givingpledge.org.
Jutawan yang membuat ikrar tersebut termasuk pengasas CNN, Encik Ted Turner; David Rockefeller; datuk bandar New York, Encik Michael Bloomberg; pengasas bersama Oracle, Encik Larry Ellison; pengarah Hollywood, Encik George Lucas; dan pengasas Business Wire, Encik Lorry I. Lokey.
Giving Pledge, yang diumumkan hanya enam minggu lalu, merupakan gagasan pengasas Microsoft, Encik Gates, dan mahaguru pelaburan, Encik Buffett, yang mahu meyakinkan orangorang terkaya di Amerika supaya mendermakan 50 peratus atau lebih harta mereka untuk tujuan amal.
Encik Buffett berkata mereka memulakan usaha dengan meneliti senarai majalah Fortune mengenai 400 jutawan Amerika yang aset mereka jika digabungkan bernilai AS$1.2 trilion.
'Kami menghubungi mungkin antara 70 dan 80 orang dalam senari Forbes.
'Ia satu pujukan, ternyata 40 menyatakan kesediaan mereka,' kata ketua eksekutif firma pelaburan Berkshire Hathaway itu, kepada pemberita.
Jika Encik Gates dan Encik Buffett berhasil mendapatkan ikrar daripada separuh 400 orang terkaya di Amerika, program itu dijangka dapat mengumpul sebanyak AS$600 bilion, menurut anggaran majalah Forbes, yakni dua kali jumlah yang didermakan rakyat Amerika pada tahun lepas. -- Agensi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment