Pages

Friday, July 23, 2010

Lelaki dijel 62 tahun sebab rogol cucu

KUCHING: Seorang datuk, yang juga bekas Ahli Majlis Perbandaran Padawan, meringkuk dalam penjara selama 62 tahun selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan merogol cucunya sejak enam tahun lalu.

Tertuduh berusia 60 tahun mengaku melakukan semua kesalahan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Dia mengaku merogol cucunya di dua lokasi berasingan iaitu di kebun dan rumahnya.

Dia dihukum mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan. Hakim Mahkamah Seksyen Kuching, Cik Afidah Abdul Rahman, memerintahkan hukuman itu dijalankan bermula semalam.

Mengikut kertas pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa raya, Encik Teo Teck Soon, tertuduh didakwa merogol cucunya ketika budak itu berusia lapan tahun buat kali pertama di sebuah pondok di kawasan kebun di Jalan Kuching, Serian, sekitar Januari hingga Disember 2004.

Dia kemudian mengulangi kesalahan itu pada 2005.

Warga emas itu turut dituduh melakukan perbuatan sama pada 2006, 2007, 2008 dan 2009, dan kali terakhir ialah pada 28 Jun lalu.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh meminta hukuman ke atasnya dikurangkan dengan alasan dia sudah tua dan keadaan kesihatannya tidak mengizinkan serta mengaku sudah insaf.

Laporan perubatan menunjukkan mangsa mengandung 28 minggu, selain terdapat kesan koyak pada kemaluannya.

Tertuduh dikatakan memelihara mangsa sejak kecil selepas ibu bapanya menghilangkan diri.

Sepanjang tempoh itu, tertuduh dikatakan mengambil kesempatan ketika mangsa berusia lapan tahun sehinggalah dia berusia 14 tahun.

Mengikut fakta kes, kejadian itu disaksikan sendiri isteri tertuduh, namun dia dimarahi dan diugut supaya tidak melaporkan perkara ini. -- Harian Metro.


No comments:

Posting Terkini