Pages

Thursday, July 15, 2010

20 maut apabila taufan Conson landa Filipina

MANILA: Taufan Conson, yang melanda Filipina semalam, mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang sedang ia memusnahkan kawasan-kawasan penduduk melarat dan menghentikan kegiatan harian di ibu kota negara itu.

Seramai 60 orang lagi dilaporkan hilang selepas Taufan Conson melanda gugusan pulau di Asia Tenggara itu sejak lewat kelmarin dan kemudian melanda pulau Luzon sepanjang malam dengan tiupan angin selaju 120 kilometer sejam.

'Bunyi angin seperti seorang kanak-kanak memekik,' kata Encik Rigor Sambol, 52 tahun, seorang bapa enam orang anak yang tinggal di kawasan penduduk melarat di tepi pantai di pinggiran Manila yang sebahagiannya musnah.

'Ia amat kuat, rumah bot kami hampir terbalik. Saya terpaksa membawa keluar anak-anak saya seorang demi seorang ke sebuah gimnasium berdekatan. Di sanalah mereka menghabiskan waktu malam di atas lantai yang sejuk,' katanya lagi.

Beberapa rumah setinggan yang pernah didirikan oleh para penduduk di tepi pantai turut hanyut dibawa arus.

Pihak berkuasa berkata 20 orang disahkan terbunuh, termasuk dua penduduk setinggan dari sebuah bandar kawasan melarat di tepi tasik dekat Manila yang mati ditimpa runtuhan rumah mereka yang roboh.

Sejumlah 57 nelayan turut hilang, manakala tiga lagi tidak dapat disahkan di selatan ibu kota Filipina itu selepas air membanjiri kawasan tempat tinggal mereka, menurut pihak tentera Filipina.

Dengan sistem perhubungan terganggu di tengah-tengah suasana huru-hara akibat taufan itu, para pegawai bantuan bencana berkata mereka sedang cuba menentukan sebesar mana kerosakan selain bimbang jumlah kematian akan meningkat.

Bekalan elektrik terganggu di seluruh Luzon, termasuk Manila, yang menyaksikan jalan-jalan rayanya dipenuhi ranting-ranting pokok yang jatuh dan serpihan sampah lain semalam. -- AFP.


No comments:

Posting Terkini