Pages

Thursday, July 15, 2010

Muzakarah izin kursus dianjur dengan bersyarat

PUTRAJAYA: Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan telah memutuskan bahawa kursus Latihan Kepimpinan ESQ boleh dilaksanakan di Malaysia dengan pengawasan sepenuhnya oleh panel syariah yang dilantik ESQ.

Pengerusi jawatankuasa itu, Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin, berkata keputusan itu dibuat setelah muzakarah yang bersidang pada 16 Jun lalu berpuas hati dan berpandangan bahawa kebanyakan unsur-unsur keraguan yang terkandung dalam kursus tersebut boleh diperbetul dan diperjelaskan.

Menurutnya, muzakarah turut memutuskan agar pihak ESQ membuat perubahan dan memperbetulkan dengan segera fakta-fakta, kenyataan atau apa jua kegiatan dan perlakuan yang boleh menimbulkan keraguan atau yang boleh ditafsirkan sebagai bertentangan dengan syariat Islam.

'Sepertimana yang termaktub dalam undang-undang, kuasa mengeluarkan fatwa adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri.

'Muzakarah menghormati fatwa yang dikeluarkan oleh negeri-negeri termasuklah fatwa mengenai ESQ yang dikeluarkan oleh Mufti Wilayah Persekutuan,' kata beliau ketika mengumumkan keputusan mengenai status ESQ di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini, semalam.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengharamkan modul kursus motivasi anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd itu kerana mendapati ajarannya menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.

ESQ yang ditubuhkan di Malaysia pada 2006 merupakan sebuah syarikat yang menjalankan latihan modal insan dan ia diasaskan oleh warga Indonesia, Dr Ary Ginanjar Agustian.

Dr Abdul Shukor berkata muzakarah juga bersetuju membuat ketetapan bahawa panel syariah ESQ perlu bertanggungjawab dan memantau sepenuhnya pembetulan atau pindaan yang dibuat dan pelaksanaan tindakan tersebut perlu dilaporkan secara berterusan kepada muzakarah.

Menurutnya, keputusan muzakarah itu dibuat berasaskan pertimbangan anggota muzakarah yang bersetuju mengambil pendekatan berbincang, mendidik dan memperbetulkan apa jua keraguan yang ditimbulkan daripada terus menghukum.

'Saya juga mengalu-alukansikap keterbukaan dan kesediaan pihak eksekutif ESQ berbincang dengan panel syariah dan menerima teguran serta pembetulan terhadap apa jua yang difikirkan boleh mendatangkan kekeliruan kepada umat Islam,' katanya, sambil menekankan bahawa program ESQ juga dijalankan secara terbuka dan sesiapa sahaja boleh mengikutinya dan memberi komen.

Beliau berkata lapan mufti yang merupakan anggota muzakarah dan beberapa orang timbalan mufti telah menyertai program ESQ dan memaklumkan bahawa tiada unsur-unsur percanggahan terhadap prinsip-prinsip asas akidah dan syariah Islam. -- Bernama.





No comments:

Posting Terkini