Pages

Tuesday, June 29, 2010

Kapal S'pura diserang lanun

BEIJING: Sebuah kapal tangki yang berdaftar di Singapura ditawan sekumpulan lanun di Teluk Aden, berdekatan Somalia, semalam.

MV Golden Blessing, kapal tangki petroleum dan bahan kimia yang membawa 19 anak kapal warga China, sedang dalam pelayaran dari Arab Saudi ke India apabila ia diserang lanun, kata satu laporan ringkas dalam bahasa Cina di laman web Kementerian Pengangkutan China, di alamat www.moc.gov.cn.

Pemilik kapal itu berkata anak kapalnya dilaporkan selamat.

Sebuah jawatankuasa bertindak Kesatuan Eropah (EU) berkata sebuah helikopter Jerman yang dihantar untuk memantau kawasan itu melaporkan ia 'melihat suspek lanun' berkenaan menaiki kapal seberat 14,445 tan itu pada kira-kira 60 batu nautika (111.12 kilometer) ke utara Somalia.

'Kapal itu di bawah kawalan lanun tetapi masih belum bergerak ketika ini,' kata tentera udara EU itu dalam satu kenyataan, sambil menambah tiada laporan mengenai kecederaan dalam kejadian itu.

Seorang kakitangan Golden Pacific International Holdings, pemilik kapal itu, memberitahu agensi berita AFP syarikat tersebut masih berhubungan dengan anak kapalnya.

'Anak kapal sejauh ini selamat,' katanya yang enggan namanya didedahkan.

Beliau menambah, tiada permintaan bagi wang tebusan dibuat setakat ini.

Usaha menyelamatkan anak kapal sudah bermula, kata Pusat Penyelamatan Marin China di laman webnya, tetapi ia belum memberikan sebarang butir lanjut mengenai usaha menyelamat itu.

Pihak berkuasa maritim Singapura berkata kapal itu telah disewakan kepada syarikat Shanghai Dingheng Shipping Co Ltd, sambil menambah bahawa mereka sedang memantau dengan rapi suasana berkenaan.

Lanun, lengkap dengan senjata dan bot laju, sering menyerang kapal-kapal yang belayar di Teluk Aden, ada kalanya menawan kapalkapal itu buat beberapa minggu sebelum melepaskannya bagi mendapatkan wang tebusan lumayan. -- Reuters, AFP.



No comments:

Posting Terkini