Pages

Tuesday, June 29, 2010

Nisbah pengundi baru: 1 Melayu, 40 bukan Melayu

KUALA LUMPUR: Kajian Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno mendapati nisbah antara orang Melayu dan bukan Melayu yang mendaftar sebagai pengundi baru sejak pilihan raya umum 2008 sehingga bulan ini ialah satu Melayu dan 40 bukan Melayu (1:40).

Pengerusinya, Encik Hishamudin Yahya, berkata kajian biro itu merangkumi keseluruhan aspek, termasuk umur serta jantina dan membabitkan golongan muda dan tua.

Senario itu, kata beliau, seharusnya menyedarkan orang Melayu di Malaysia bahawa kuasa politik mereka boleh terhapus jika mereka enggan terus mendaftar sebagai pengundi atau tidak mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

'Jika kita tidak serius dan bersungguh- sungguh menarik orang Melayu mendaftar sebagai pengundi, kita bimbang kuasa politik Melayu akan lenyap. Ini adalah kenyataan yang harus kita hadapi dan atasi segera,' kata Encik Hishamudin.

Sehubungan dengan itu, Umno bahagian di seluruh negara perlu mempergiat usaha menambah daftar pengundi bagi memastikan kuasa politik orang Melayu di Malaysia terus kekal, kata beliau.

'Hanya dengan cara itu, BN (Barisan Nasional), khususnya Umno, dapat menjamin kemenangan, sekali gus meneruskan kesinambungan kerajaan untuk memajukan rakyat dan negara,' ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan jumlah pengundi berdaftar bagi seluruh negara hingga Februari lalu ialah 11,163,409 orang, dengan 56 peratus membabitkan Bumiputera.

SPR mengesahkan hingga kini, 4.3 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi masih belum mendaftarkan diri.

Pada pilihan raya umum 2008, BN kehilangan lima negeri - Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan - kepada pembangkang walaupun kekal memerintah negara. Bagaimanapun, Perak berjaya diambil alih semulanya selepas krisis politik di negeri itu.

Encik Hishamudin berkata Umno juga bimbang kerana mendapati 661,231 daripada 3.16 juta ahlinya belum mendaftar sebagai pengundi.

Beliau turut mengingatkan Pergerakan Pemuda Umno supaya tidak 'lena' kerana pilihan raya umum mungkin diadakan pada bila-bila masa dari sekarang. -- BHM.


1 comment:

♥xaturen♥ said...

Satu hasil kajian yang sangat merunsingkan! Diharapkan pehak-pehak yang berkenaan lebih giat meperomosi akan hal ini keseluruh daerah dan kampung! AJKm kampung perlu lebih cergas demi politik umat melayu.

Posting Terkini