Pages

Tuesday, March 16, 2010

Terkini - Thailand bertambah tegang

BANGKOK: Letupan bom tangan yang mencederakan dua askar di pangkalan tentera Thailand meningkatkan lagi ketegangan di Bangkok semalam, sedang puluhan ribu pembantah antikerajaan Thailand berkumpul dekat berek-berek lain di pinggiran ibu kota negara itu.

Tidak jelas pihak mana yang bertanggungjawab atas serangan itu atau sama ada ia dikaitkan langsung dengan bantahan-bantahan oleh para penyokong bekas perdana menteri Thai, Encik Thaksin Shinawatra, yang lebih popular dipanggil 'Baju Merah'.

Namun, ia berlaku sejurus selepas Perdana Menteri Thailand, Encik Abhisit Vejjajiva, menolak permintaan para pembantah itu untuk membubarkan parlimen dan mengadakan satu pilihan raya baru menjelang tengah hari semalam.

Disokong tentera dan kumpulan elit berpengaruh di negara itu, Encik Abhisit, menerusi siaran televisyen kebangsaan dan diapit oleh anggota parti campuran beliau, berkata masa sekarang belum lagi sesuai bagi satu pilihan raya diadakan, yang mana sesetengah pengamat politik berkata para sekutu Encik Thaksin dijangka menang.

Jurucakap tentera Thai, Kolonel Nattawat Attanibutt, berkata satu siasatan awal menunjukkan bom-bom tangan itu dilancarkan ke arah pekarangan pangkalan tentera oleh pelancar bom tangan M-79, dari luar pangkalan berkenaan di Viphavadi-Rangsit Road, di sini.

Askar-askar itu dirawat di hospital dan dalam keadaan stabil.

'Seorang cedera di bahagian perut dan seorang lagi cedera di bahagian lengan,' kata Kol Nattawat.

Bagaimanapun, polis akhirnya berjaya menangkap seorang lelaki yang disyaki melancarkann bom-bom tangan itu ke pekarangan pangkalan Batalion Infantri Pertama di Bangkok petang semalam, kata satu laporan media Thai.

Menurut laman web akhbar The Nation, suspek telah dibawa ke balai polis untuk disoal siasat dan ketua polis metropolitan, Mejar Jeneral Santhan Chayanon, dan beberapa pegawai polis telah bergegas ke balai polis itu untuk menyoal siasat lelaki berkenaan.

Polis berkata lelaki tersebut telah ditahan di pusat pemeriksaan ekoran maklumat daripada para saksi.

Empat letupan berlaku sekitar 1.30 petang semalam di pekarangan pangkalan tentera Thai itu.

Jurucakap tentera Thai, Kolonel Sansern Kaewkamnerd, berkata enam bom tangan M79 itu yang dilancarkan ke pekarangan pangkalan tentera berkenaan dipercayai dari sebuah pikap.

Dua daripada enam pelancaran bom tangan itu gagal meletup.

Pihak berkuasa telah menambahkan jumlah askar yang dikerahkan segera ke ibu kota Thai. -- Agensi.


No comments:

Posting Terkini