Pages

Wednesday, March 17, 2010

Pembuat Fitnah Munafik, Penyebarnya Fasiq

Tiada apa yang baru dalam fatwa Sheikh Yusuf Al-Qaradawi berhubung isu konspirasi kedua terhadap kerjaya politik Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiap dimensi fatwa yang dikeluarkan di Doha, Qatar pada 14 Februari lalu ialah penegasan terhadap hukum hakam yang ditetapkan oleh Allah aza wa jalla. Sesungguhnya, fitnah, terutama dalam konteks pertuduhan seks ini bukan sesuatu yang baru.

Sejarah sarat dengan episod fitnah seks. Kini ia berulang di Malaysia.Kita akur memang naluri jahat manusia akan cuba menghina dan mematahkan lawan dengan pelbagai taktik serangan fitnah bersifat peribadi seperti menyatakan seteru mereka gila, haloba kuasa, ahli sihir dan bersifat antiagama serta musuh ketenteraman awam.

Hal ini bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana al-Quran telah mendedahkan sikap seumpama ini dengan begitu kerap dan jelas. Kisah Nabi Yusuf terperosok dalam penjara kerana fitnah seks; kerakusan umat Nabi Lut serta Nabi Muhammad sendiri dituduh gila hanya kerana menyeru umatnya supaya lebih telus dan lurus aqidah mereka dalam bab mengEsakan Allah, adalah inti pati reaksi manusia terhadap dakwah sejagat.

Memahami hakikat ini, apabila Sheikh Yusuf berulangkali memfatwakan betapa jahat dan bahayanya taktik menjatuhkan saingan politik melalui rencana fitnah seks ini, kita menjadi cukup kagum dengan ketegaran perencana politik anti Anwar Ibrahim yang dengan selamba dan angkuhnya mengulangi kejahatan silam semata-mata untuk terus berkuasa dan menguasai pemikiran rakyat.

Tanpa segan-silu dan rasa takut akan kebesaran Allah, mereka mengenepikan bukan sahaja peringatan Allah, malah melanggar hukum yang telah ditetapkan Allah.

Lihat sahaja apa yang berlaku pada pemikiran dan gelagat penguasa agama Islam di Malaysia hari ini.

Kita percaya di segi ilmu, pengetahuan agama mereka agak tinggi. Mungkin sistem dan struktur pengajaran agama Islam agak baik di Negara ini maka ramai yang me-nguasai pelbagai cabang ilmu agama dan diberi tanggungjawab mentadbir ehwal agama Islam.

Namun mereka mengulangi kejahatan ulama silam – mengetepikan ketetapan Allah demi mempertahankan status quo masing-masing dengan alasan demi bangsa, parti dan juga kedudukan sosial mereka dengan memutar belit hukum Islam.

Yang menyedihkan ialah mereka tergamak mengkesampingkan syariat Islam demi memuaskan tauke dan kepentingan politik mereka.

Lebih mengkagumkan ialah apabila penguasa agama di Malaysia sendiri menyatakan bahawa syariat Islam adalah lebih rendah martabatnya daripada perundangan sivil buatan manusia.

Malah mereka seolah-olah malu mahu mengakui bahawa syariat Islam ditentukan Allah. Mereka tahu bahawa akal manusia terbatas tetapi ketetapan Allah kekal hingga kiamat. Namun kepercayaan ini diterjemahkan secara songsang.

Berdolak-dalik di mahkamah syariah adalah satu dosa. Malah apabila pihak berkuasa memohon kepada mahkmah supaya menggugurkan pertuduhan qazaf Saiful Bukhari Azlan, ia sekali lagi mengulangi kebiadaban manusia terhadap Allah dan kali ini dilakukan oleh orang yang bertanggungjawab memperkembangkan dakwah Islamiah.

Mereka tahu apa yang dikatakan oleh Syeikh Yusuf, Pengerusi Gerakan Ulama Sedunia itu adalah benar. Ini kerana hujah beliau hanya didasarkan pada ayat-ayat al-Quran. Mereka tahu keengganan melaksanakan ketetapan Allah adalah satu dosa besar. Mereka tahu bahawa tiada alasan untuk tidak mahu melaksanakannya. Mereka tahu mereka bergelumang dosa.

Mereka juga sudah menyaksikan kemurkaan Allah terhadap golongan yang merencana konspirasi pertama dahulu.

Namun kerana ego dan mengejar pangkat, baik menteri, cendekiawan, ulama dan mufti, masing-masing membatukan diri seolah-olah kes konspirasi kedua ini tiada kena mengena dengan mereka; yang perlu dipertahankan ialah kedudukan sahaja.

Bagi kita golongan ini hanya menunggu kemurkaan Allah. Mereka tahu mengapa Allah menetapkan sesuatu hukum. Namun demi nama, pangkat dan ketakutan akan kehilangan kedudukan dalam masyarakat, mereka ketepikan semuanya dan memperhambakan diri kepada tauke politik yang memang sudah tertutup pintu hati mereka.

Bak kata Syeikh Yusuf, sesiapa yang melakar fitnah munafiq, penyebarnya fasik. Masih belum terlambat untuk menghindar Malaysia daripada kemurkaan Allah. Bercakap benar, bertindak benar.

Selamatkan Malaysia.

No comments:

Posting Terkini