Pages

Monday, March 8, 2010

Artis popular dipercayai dalang pusat hiburan

KUALA LUMPUR: Penahanan lebih 20 pasangan kekasih beragama Islam dalam keadaan khayal serta berpelukan dan bercumbu-cumbuan ketika pihak berkuasa mengadakan serbuan di sebuah pusat hiburan eksklusif dekat sini, membongkar pembabitan seorang artis terkenal yang dipercayai menjadi 'dalang' kegiatan tidak bermoral di situ.

Menurut sumber Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), serbuan mengejut itu menyebabkan sebahagian pengunjung beragama Islam bertempiaran lari menggunakan pintu belakang bagi mengelak ditahan kira-kira 20 anggota penguatkuasa.

'Bagi pengunjung wanita yang khayal dan mabuk, mereka bukan saja 'merapu' apabila ditanya, malah bertindak berani dan cuba menggoda anggota penguatkuasa yang menjalankan siasatan,' katanya.

Menurutnya, artis wanita berusia lingkungan 30-an tahun itu dipercayai 'mengalibabakan' nama rakannya bagi mengelak pihak berkuasa mengesan pembabitannya dengan pusat hiburan itu, yang menawarkan suasana romantik bagi pasangan kekasih selain menyediakan pelbagai jenis minuman keras berjenama terkenal.

Beliau berkata, kebanyakan pasangan kekasih beragama Islam menari dan berpelukan dalam keadaan khayal, dipercayai di bawah pengaruh minuman keras.

Kebanyakan pengunjung wanita pula berpakaian seksi sehingga menampakkan bahagian dada dan bawah tubuh.

Menurut sumber itu, Jais menerima aduan bahawa pusat hiburan berkenaan, yang dipercayai milik artis terbabit, menjadi tumpuan pasangan kekasih beragama Islam dan menjadi pusat kegiatan tidak bermoral, termasuk menari sehingga mabuk.

Malah, pemantauan Jais juga mendapati bahawa pusat hiburan itu dipercayai turut menjadi tumpuan artis berstatus elit untuk 'bersantai'.

'Bagaimanapun, ketika serbuan dilakukan, tidak ada artis ditemui dan kami tidak menolak kemungkinan ada yang sempat melarikan diri,' kata sumber itu.

Sementara itu, Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, ketika mengesahkan serbuan itu berkata ia sebahagian siri serbuan dan operasi pencegahan maksiat, termasuk di pusat hiburan, yang dilakukan pihaknya tanpa mengambil kira status pemilik premis, termasuk artis. -- Harian Metro.

No comments:

Posting Terkini