Pages

Monday, March 8, 2010

RM50 Juta Untuk Program Pinjaman Mikrokredit Selangor

SHAH ALAM 8 Mac - Kerajaan Selangor hari ini akan membangunkan Program Pinjaman Mikrokredit untuk membantu rakyat miskin dan berpendapatan rendah bagi mengeluarkan golongan ini daripada garis kemiskinan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika berucap pada Majlis Penyampaian Surat Kuasa (Watikah) Ketua Kampung Negeri Selangor di Stadium Malawati Shah Alam hari ini berkata program itu akan mula dilaksanakan mulai April depan.

Beliau berkata program tersebut akan berkonsepkan produk perbankan Islam yang dikenali sebagai Qardhul Hassan.

Sistem itu kata beliau adalah sama seperti yang digunapakai oleh Grameen Bank di Bangladesh yang telah berjaya membantu golongan miskin di negara tersebut.

"Dana permulaan untuk program pinjaman ini akan menggunakan hasil kutipan hutang yang telah berjaya dikutip dari Syarikat Talam Corporation Berhad (Talam) yang berjumlah RM50 juta.

"Kita juga akan membentuk sebuah Jawatankuasa Khas bagi menentukan proses dan pendekatan program tersebut. Jawatankuasa ini akan diketuai oleh Datuk Dr Hassan Mohamad Ali," jelasnya.

Selain itu Menteri Besar juga menjelaskan beberapa pakar perbankan Islam tempatan dan antarabangsa akan dilantik dalam jawatankuasa khas bagi memberi khidmat nasihat dan bimbingan agar program ini menepati matlamat penubuhannya.

"Kerajaan Negeri memberi jaminan pemilihan bagi penerima pinjaman ini akan dibuat secara telus dan adil tanpa wujud unsur-unsur kronisme atau kepartian dan kerajaan negeri juga yakin akan mengutip keseluruhan hutang Talam yang berjumlah RM392 juta pada penghujung tahun ini.

"Kutipan ini akan digunakan untuk program-program yang selari dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor," sambungnya lagi

Pada majlis itu Khalid telah menyerahkan surat kuasa kepada 368 ketua kampung.

Turut hadir termasuk Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Yaakop Sapari, Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Asas Negeri Datuk Dr Hassan mohamad Ali, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Ronnie Liew Tian Khiew dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ramli Mahmud.

No comments:

Posting Terkini