PENUH HORMAT: Mayat mendiang Encik Goh tiba di pekarangan Dewan Persidangan Singapura selepas diletak sejak Khamis lalu di Bangunan Parlimen, di mana lebih 18,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat memberi penghormatan terakhir mereka. -- Foto THE STRAITS TIMES
BELIAU selamat disemadi semalam, namun nama beliau kekal abadi, bak pepatah harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan daging, manusia mati meninggalkan nama.
Pemergian mantan Timbalan Perdana Menteri Singapura, Dr Goh Keng Swee, diberi penghormatan tertinggi negara dalam upacara persemadian yang diulit suasana hening.
Penghormatan penuh istiadat itu sesuai dengan bakti dan sumbangan mendiang Dr Goh, yang meninggal dunia 14 Mei lalu pada usia 91 tahun.
Tempat upacara: Dewan Persidangan Singapura, yang terletak di pusat kewangan Shenton Way dan saksi usaha serta bakti pemimpin generasi pertama Singapura itu.
Dewan itu sendiri mercu tanda bersejarah Singapura dan pernah menjadi ibu pejabat Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), mewakili golongan pekerja yang amat dekat di hati mendiang Dr Goh.
Malah, daya usaha mendiang Dr Goh seperti membantu membangunkan industri Singapura telah mencipta banyak peluang pekerjaan bagi rakyat negara ini.
Sebagai antara pengasas penting kemajuan Singapura, mendiang Dr Goh menerajui usaha-usaha melakar dasar dan strategi ekonomi sehingga menjadikan Singapura pusat kewangan terkemuka rantau ini.
Sepanjang kerjayanya, mendiang Dr Goh telah mewujudkan banyak pertubuhan yang bertahan sehingga hari ini, antaranya Penguasa Kewangan Singapura (MAS), Perbadanan Bandar Jurong (JTC) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).
Tiada yang lebih akrab dan lebih mengenali mendiang di kalangan rakan seperjuangan politiknya daripada Menteri Pembimbing, Encik Lee Kuan Yew.
Beliau antara yang menyampaikan kata-kata sanjungan di upacara penuh syadu semalam. Ini kali pertama Encik Lee memberi komen awamnya mengenai mendiang Dr Goh kerana beliau berada di luar negara semasa pemergiannya.
Mendiang Dr Goh, pemimpin yang dianggap arkitek pembangunan Singapura, bekerja rapat dengan Encik Lee membentuk Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan menjadi menteri Kabinet selama 25 tahun sehingga bersara daripada politik pada 1984.
Encik Lee menyifatkan rakan karibnya lebih 60 tahun itu sebagai 'penyelesai masalah' dengan sikapnya yang cermat dan berhati-hati membantu membangunkan rizab negara. Mendiang juga disifatkan berpendirian tegas dan mempunyai pemikiran luas.
Sekitar 850 tetamu mewakili pelbagai lapisan masyarakat Singapura hadir dalam upacara semalam. Mereka termasuk Presiden S R Nathan, para menteri Kabinet, orang kenamaan, diplomat dan para pemimpin badan-badan termasuk Melayu/Islam.
Ia bermula 2.30 petang dan disiarkan secara langsung menerusi televisyen. Sebelum itu, mayat mendiang diletak di Bangunan Parlimen sejak Khamis lalu dan lebih 18,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat memberi penghormatan terakhir mereka.
Mayat mendiang diusung dari Bangunan Parlimen bagi upacara persemadian negara di Dewan Persidangan Singapura itu dengan diiringi anggota keluarga, termasuk isterinya, Dr Phua Swee Liang, dua menteri pengiring dan beberapa pemimpin akar umbi. Dua menteri itu ialah Dr Yaacob Ibrahim dan Encik Lui Tuck Yew.
Dalam upacara sekitar satu setengah jam itu, kesyaduan dan keheningan menyelubungi suasana, dengan sebahagian hadirin kelihatan sebak mengenangkan pemergian pemimpin yang sukar dicari ganti itu. Isteri Dr Goh kelihatan tenang tetapi satu ketika begitu sebak sehingga menitiskan air mata.
Turut menyampaikan ucapan sanjungan ialah Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong; pengerusi Temasek Holdings, Encik S. Dhanabalan; cucu mendiang Dr Goh, Encik Goh Ken-Yi, dan cucu saudaranya, Cik Marian Hui.
PM Lee menyifatkan mendiang sebagai salah seorang pengasas Singapura dan 'gergasi' yang menangani pelbagai cabaran semasa pembentukan awal Singapura.
'Namun apa yang lebih penting, beliau memperkenal inisiatif-inisiatif baru yang membentuk asas kemajuan dan kemakmuran negara bagi jangka panjang. Tanpa beliau, banyak daripada apa yang ada sekarang di Singapura tidak akan wujud,' katanya.
Dua karangan bunga diletak PM Lee dan Dr Phua di ruang mayat mendiang ditempatkan.
Sejurus kemudian, Presiden Nathan menyampaikan kepada Cik Goh Bendera Negara dan pingat-pingat yang pernah dianugerah kepada suaminya itu.
Acara diakhiri dengan penghormatan seminit dan tiupan 'bugle' The Last Post.
Mayat mendiang kemudian dibawa ke krematorium Mandai untuk persemadian dalam upacara privet yang dihadiri keluarga saja.
Monday, May 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment