Pages

Monday, May 24, 2010

Perintah berkurung Thai dilanjut dua hari

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Encik Abhisit Vejjajiva, berkata semalam perintah berkurung di ibu kota Bangkok dan 23 wilayah lain akan dilanjutkan selama dua hari lagi.

Perintah berkurung itu berkuatkuasa dari 11 malam sehingga 5 pagi.

Ia telah berkuatkuasa sejak malam Rabu lalu ekoran pertempuran ganas antara penunjuk perasaan kumpulan 'Baju Merah' dan tentera.

Semalam, Encik Abhisit berkata Tahailand tenang dan kembali normal.

Sekolah-sekolah, jalan raya dan agensi kerajaan akan dibuka semula hari ini.

'Semuanya tenang dan kembali normal,' kata Encik Abhisit dalam ucapan mingguannya yang disiar melalui televisyen.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan akan menimbangkan untuk mengadakan pilihan raya umum hanya apabila bantahan telah benar-benar berakhir.

'Buat masa ini tiada siapa pun boleh berkata bila masa terbaik. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku selepas ini. Masih ada orang berkata mereka ingin meneruskan perjuangan dan akan mengadakan bantahan Jun ini. Kita perlu lihat apa yang berlaku dulu,' katanya.

Encik Abhisit turut mempertahan tindakan tegas pihak berkuasa untuk menyuraikan penunjuk perasaan, yang menyebab 86 orang terbunuh dan 1,900 cedera.

'Kehilangan nyawa dan kecederaan disebabkan oleh pertempuran antara kumpulan yang menyerang pasukan keselamatan yang cuba membuat sekatan jalan raya.

'Semua senjata yang digunakan (pasukan keselamatan) mengikut piawaian antarabangsa. Senjata digunakan untuk pertahanan diri dan mewujudkan keamanan dan kawalan,' katanya.

Kelmarin, kerajaan Thai telah menunjukkan pelbagai senjata yang telah dijumpai di kubu penunjuk perasaan bagi menyangkal dakwaan bahawa golongan itu tidak bersenjata.

Dua rakyat asing juga didakwa terbabit dalam serangan kebakaran khianat terhadap bangunan utama di Bangkok.

Sementara itu, polis Thailand sudah pun meningkatkan kawalan keselamatan dan merampas telefon bimbit pemimpin penunjuk perasaan yang ditahan, berikutan kritikan bahawa pihak berkuasa bersikap terlalu lembut terhadap mereka.

Kebanyakan pemimpin 'Baju Merah' sudah menyerah diri, tetapi layanan diberi terhadap mereka mencetus kritikan selepas gambar mereka bersantai dan senyum ketika ditahan di sebuah rumah besar di ibu pejabat polis selatan Bangkok tersebar di Internet.

Kumpulan pemimpin itu juga dibenarkan menyimpan telefon bimbit masingmasing dan dapat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak ditahan beberapa hari lalu.

Jurucakap polis, Encik Prawut Thavornsiri, berkata polis mengambil keputusan menempatkan pemimpin penunjuk perasaan di rumah itu kerana tidak mempunyai cukup bilik di tempat lain yang lebih selamat. -- Agensi.


No comments:

Posting Terkini