KUALA LUMPUR: Mereka bukan calang-calang orang, sebaliknya tahfiz, bekas pegawai tentera, pegawai bank dan pesara kerajaan.
Namun, mereka kini antara pesakit terdampar selepas tiada waris, termasuk anak-anak, mahu mengambil mereka pulang walaupun mereka sudah sembuh dirawat di hospital.
Jumlah pesakit seperti mereka, kebanyakannya warga tua, semakin meningkat di beberapa hospital kerajaan. Di Hospital Kuala Lumpur (HKL), terdapat 489 kes tahun lalu, bertambah 81 kes daripada tahun sebelumnya.
Sebahagian mereka kini ditempatkan di rumah transit yang dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi penempatan sementara sebelum dipindahkan ke rumah perlindungan lain.
Bagaimanapun, jumlah itu sekarang sudah terlalu besar untuk ditampung rumah transit tersebut.
Difahamkan, beberapa hospital kerajaan di sekitar Lembah Klang, seperti Hospital Serdang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Tuanku Ampuan Rahimah Klang, menghadapi masalah sama.
Pegawai Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL, Encik Mohd Kamaruzzaman Ali, berkata sebahagian pesakit dihantar oleh anak ke hospital untuk rawatan.
Namun selepas orang tua mereka sembuh, mereka tidak datang mengambilnya. Malah waris pesakit berkenaan tidak datang menjenguk di hospital. Mereka sengaja memberi alamat dan nombor telefon palsu kerana tidak mahu dikesan.
Sekarang hampir semua rumah transit di Lembah Klang dihuni sepenuhnya pesakit terdampar.
Rumah transit hanya boleh menempatkan mereka untuk tempoh enam bulan ke setahun sebelum dipindahkan.
Encik Mohd Kamaruzzaman berkata daripada keseluruhan kes di HKL, 81.8 peratus membabitkan pesakit lelaki yang majoritinya berbangsa Melayu dalam lingkungan usia 18 hingga 74 tahun.
Sementara itu, Pegawai Kerja Sosial Perubatan Hospital Ampang dan Pengerusi Pusat Penjagaan Nur Hasanah (rumah transit), Encik Mohiadin Bahado, berkata:
'Dari segi psikologi, apabila mereka gagal ditempatkan di institusi penjagaan kekal dengan alasan masih ada waris, secara automatik semangat untuk hidup merosot.'
Beliau berkata ada waris enggan mengambil pesakit berkenaan dengan alasan sibuk bekerja. Malah ada yang menolak dengan alasan bapa atau ibu mereka tidak bertanggungjawab ketika mereka kecil. -- BMM.
Monday, May 24, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment