Pages

Friday, March 13, 2009

Raja Perlis tidak mahu campur tangan urusan pentadbiran

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, hari ini bertitah baginda tidak berhasrat untuk campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri yang baginda sifatkan semakin bertambah baik.

Bagaimanapun, jika terdapat perkara yang memerlukan nasihat, baginda akan tetap mengeluarkan teguran dan nasihat itu.

Bertitah pada majlis angkat sumpah Ahli Exco kerajaan Perlis di Istana Arau hari ini, Raja Perlis mahu setiap Ahli Exco itu melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan berkesan.

Titah baginda, tahap menyimpan rahsia kerajaan didapati semakin baik dan tiada rahsia dibocorkan sebelum mesyuarat Exco bermula.

Suatu ketika dahulu pernah berlaku kes apabila perkara yang patut dibincangkan dalam mesyuarat Exco sudah diperkatakan di kedai kopi, malah lebih keterlaluan ada orang luar yang tahu keputusan mesyuarat Exco, titah Tuanku Syed Sirajuddin.

"Ingatlah, jangan bocorkan rahsia kerajaan kepada orang luar sebelum ia diluluskan," titah baginda.

Baginda turut menasihati semua wakil rakyat termasuk Ahli Exco kerajaan negeri supaya sentiasa menilai pencapaian perkhidmatan mereka sama ada benar-benar berkesan kepada negeri dan rakyat.

"Sebagai wakil rakyat, perlu tunjuk contoh teladan yang baik termasuk kepada pegawai kerajaan. Jangan terbabit budaya tak elok," titah baginda lagi.

Tuanku Syed Sirajuddin bersyukur kerana kerajaan negeri tidak lagi menghulurkan 'ikan' kepada rakyat, sebaliknya sudah mula memberikan 'pancing' untuk mereka berdikari.

"Perkara ini mustahak kerana ekonomi pun rumit. Kalau beri ikan sahaja kepada rakyat, maka rakyat akan hadapi masalah di masa depan," titah baginda.

Baginda kecewa kerana ada wakil rakyat tidak menghadiri majlis rasmi kerajaan dan mesyuarat tertentu menyebabkan tanggungjawab mereka menjadi tidak berkesan.

"Budaya menangguh kerja juga perkara yang tak elok. Ada yang nak tunggu esok. Lepas esok ada esok lagi. Kerja dok tunda, tunda dan tunda," titah baginda.

Selain itu, baginda bertitah setiap kerja yang dilakukan perlu memberi kepuasan kepada kerajaan dan rakyat selain diri sendiri.

"Tak guna buat kerja separuh jalan...tak dapat kepuasan. Kita puas hati orang pun seronok," titah baginda.

Raja Perlis turut mengingatkan Ahli Exco kerajaan negeri bahawa tugas mereka perlu dilakukan dalam satu pasukan yang kuat untuk membangunkan negeri Perlis.

"Jangan jadi macam jam. Jika satu spring putus, maka jam pun rosak," titah baginda pada majlis yang dihadiri oleh kesemua wakil rakyat kecuali Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Tambun Tulang, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Adun kawasan Sanglang, Hashim Jasin yang juga Pesuruhjaya PAS Perlis.

Pada majlis itu, lapan orang mengangkat sumpah sebagai Ahli Exco kerajaan negeri termasuk seorang muka baru iaitu Adun kawasan Chuping, Mansor Jusoh.

Sebelum ini, Perlis hanya mempunyai tujuh Ahli Exco yang kesemuanya dilantik semula iaitu Datuk Seri Diraja Syed Razlan Jamalullail (Adun kawasan Pauh), Sabry Ahmad (Santan), Ahmad Bakri Datuk Ali (Kayang), Abdul Jamil Saad (Sena), Mat Rawi Kassim (Beseri), Jafperi Osman (Guar Sanji) dan Yip Sin Onn (Titi Tinggi).

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu turut menghadiri majlis itu. - Bernama

No comments:

Posting Terkini