Pages

Friday, March 13, 2009

Adun Bebas Bersuara Dalam Dewan- Abdul Khalid

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyifatkan tindakan bekas Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang dikatakan memberi amaran kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Hulu Klang, Shaari Sungib berhubung kenyataannya di dalam persidangan dewan hari ini sebagai satu cara yang tidak betul.

Insiden yang terjadi di luar dewan itu berlaku apabila Dr Khir berkata kepada Shaari yang isterinya (Datin Seri Zahrah Kechik) tidak boleh memandu dan tidak akan memaafkan Shaari sekiranya beliau keguguran.

Dr Khir turut dikatakan menyentuh janggut Shaari dan berkata beliau (Shaari) sebagai orang tua lebih baik menyemak fakta dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

Insiden ini dipercayai berlaku berikutan kenyataan Shaari dalam persidangan hari ini yang mendakwa sebuah kereta Range Rover bernilai RM500,000 yang dibeli syarikat yang Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) mempunyai pegangan telah diberi guna kepada Datin Seri Zahrah selaku isteri kepada pengerusi KDEB ketika itu.

Dato’ Menteri Besar ketika ditemui pemberita berkata setiap Adun diberi kebebasan menyuarakan atau menyatakan sebarang maklumat yang diperolehi untuk pengetahuan sidang dewan.

“Dewan adalah satu tempat yang mana semua perkara mengenai isu rakyat, isu pentadbiran dibangkitkan di sana. Dengan cara itu rakyat dapat mengetahui kebenaran.

“Sebab itu ia dilindungi daripada undang-undang yang boleh dikatakan menyalahgunakan maklumat dan sebagainya, bagi memberikan kebebasan kepada kedua-dua pihak untuk berbincang dalam erti kata without fear or favour,” katanya.

Tambahnya, apa yang berlaku adalah satu ujian kematangan yang seharusnya ditangani dengan cara yang betul seperti yang dititah Sultan Selangor Selasa lalu yang meminta semua Adun saling hormat- menghormati.

Sementara itu, Shaari ketika memberi komen mengenai insiden itu berkata pada mulanya situasi yang dianggap tenang berubah menjadi sedikit emosi.

“Bagi saya dia bukan mengancam tetapi hanya hendak menunjukkan rasa tidak puas hati.

“Saya tidak perlu ambil sebarang tindakan (selepas ini) kerana saya anggap ia hanya satu peristiwa di luar dewan,” katanya.

No comments:

Posting Terkini