Pages

Thursday, October 22, 2009

Pembelian Scorpene Tidak Melalui Tender Terbuka Demi Keselamatan

KUALA LUMPUR, 22 Okt-- Pembelian dua kapal selam jenis Scorpene iaitu KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak tidak dibuat secara tender terbuka kerana dikhuatiri ia akan mendedahkan sistem pertahanan negara kepada musuh, Dewan Rakyat diberitahu Khamis.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata keadaan yang sama juga turut diamalkan oleh negara lain seperti India, Chile dan Brazil.

"Kalau tender terbuka, maknanya kita sudah pun mendedahkan rahsia pertahanan negara kepada musuh. Sebab itu prosedur untuk mendapatkan aset pertahanan, tak ada negara yang membuat tender terbuka untuk kapal selam," katanya menjawab soalan Nga Kor Ming (DAP-Taiping).

Nga turut bertanya mengenai keistimewaan syarikat DCNS dari Perancis dan Navatia dari Sepanyol yang membekalkan kapal selam itu.

Abdul Latiff berkata sebelum membuat rundingan harga kapal selam itu, kerajaan telah mengkaji semua aspek termasuk kesesuaian dengan keselamatan negara.

Beliau berkata kerajaan juga mengkaji pengalaman negara lain seperti India, Pakistan, Turki, Perancis, Jerman, Belanda dan Korea yang mempunyai kepakaran dalam bidang kapal selam.

Menjawab soalan Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut) sama ada kerajaan memberi keistimewaan kepada krew kapal selam pertama negara itu, Dr Abdul Latiff berkata kerajaan mengambil berat mengenai hal itu.

"Kita sudah rangka kalau seorang pegawai atau lain-lain pangkat lulus kursus tiga hingga empat tahun, layak mendapat elaun RM1,400 sebulan bagi pegawai dan Lain-Lain Pangkat (LLP) RM1,100 sebulan.

"Jika lulus di peringkat kepakaran atau lanjutan, pegawai akan menerima elaun RM1,900, LLP (RM1,500) sebulan manakala jika sampai di tahap commanding officer, lulus sebagai pegawai pemerintah, elaun dibayar RM3,000 sebulan," katanya.

Abdul Latiff berkata kapal selam pertama negara merupakan kapal selam diesel generasi terbaru yang direka bentuk mengikut teknologi kapal selam nuklear tentera laut Perancis.

Beliau berkata kapal selam itu dilengkapi peralatan moden dengan keupayaan tempurnya lebih baik berbanding yang dimiliki negara jiran malah lebih hebat daripada buatan Jerman.

KD Tunku Abdul Rahman yang dikendalikan 32 anggota terdiri dari 15 pegawai dan 17 anggota mampu membawa tambahan lapan orang anggota dalam satu-satu masa sama ada untuk latihan mahupun dalam melaksanakan operasi, katanya.

Abdul Latiff berkata anggaran kos penyelenggaraan dan alat ganti bagi dua buah kapal selam ini ialah RM270 juta setahun.

"Penyelenggaraan akan dilakukan di pangkalan TLDM Teluk Sepanggar (Sabah) dengan kemudahan seperti menaiki galangan (syncro lift), bengkel serta hanger telahpun beroperasi sepenuhnya," katanya.



-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini