Pages

Thursday, January 29, 2009

Muhyiddin serah kepada MT

KUALA LUMPUR 28 Jan. - Terpulang kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO memutuskan sama ada ada calon-calon Timbalan Presiden dan Naib Presiden parti perlu berkompromi pada pemilihan Mac ini.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, cadangan itu mesti dibincang dan diputuskan di peringkat MT.

Tambahnya, sebagai ahli parti yang setia beliau akur terhadap apa juga keputusan yang akan diputuskan nanti.

"Saya menghormati pandangan daripada UMNO Bahagian Besut.

"Mengambil kira senario politik sekarang, tidak bermakna musyawarah tidak boleh diamalkan. Yang penting ialah kepimpinan yang kuat, perpaduan parti serta imej parti di mata rakyat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas cadangan Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Seri Idris Jusoh supaya calon-calon Timbalan dan Naib Presiden berkompromi dan memberi keutamaan kepada mereka yang mampu meningkatkan kekuatan parti.

Menurut Idris, tanpa pertandingan bagi kedua-dua jawatan itu ia mampu membendung gejala politik wang, mengelak perpecahan dan membolehkan ahli UMNO menumpukan usaha untuk mengukuhkan parti.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein menganggap saranan itu tidak mustahil dilakukan tetapi perlu perbincangan mendalam.

Menurutnya, berkompromi sememangnya cara UMNO sejak dari dulu dalam mengambil kira barisan kepimpinan sekarang.

"Ia (kompromi) tak mustahil. Apa yang boleh bincang, kita boleh bincang, apa yang perlu diagih-agihkan tugas selepas Mac kita boleh agihkan sekarang."

"Saya yakin terdapat banyak tugas dan tuntutan perlu dipikul secara bersama dan perkara itu perlu dilakukan demi masa depan," katanya dihubungi di Mekah hari ini.

No comments:

Posting Terkini