Pages

Wednesday, September 16, 2009

Parlimen Singapura

Lebih kuasa bagi tribunal hak cipta

TRIBUNAL hak cipta kini mempunyai lebih banyak kuasa untuk mendengar semua pertikaian melibatkan kerja-kerja yang mempunyai hak cipta.

Ia akan juga diberi kuasa menentukan tempoh bagi skim pelesenan.

Ini selepas Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Hak Cipta (Pindaan) semalam.

Sebelum ini definisi lesen dan skim hak cipta terlalu sempit, mengakibatkan tribunal itu tidak dapat mendengar kes melibatkan yuran yang perlu dikenakan bagi rakaman muzik dan video muzik yang disimpan dalam cakera keras.

604 kemalangan libatkan basikal

MENTERI Pengangkutan, Encik Raymond Lim, mendedahkan 604 kemalangan melibatkan penunggang dan pembonceng basikal dilaporkan tahun lalu.

Daripada bilangan itu, 22 penunggang dan pembonceng basikal terkorban sementara 585 cedera.

Jumlah korban itu sama dengan bilangan pada 2007.

Namun jumlah cedera bertambah daripada 519 kes pada 2007.

Bagi mengurangkan kemalangan, Polis Trafik telah meningkatkan usaha pendidikan awam, umpamanya dengan menyediakan panduan menunggang basikal secara selamat di sekolah dan acara masyarakat.

Tawar bantu Indon padam kebakaran


KESAN El Nino yang lebih kuat dalam beberapa bulan mendatang boleh memburukkan cuaca panas dan menambah jumlah kebakaran di rantau ini, kata Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Dr Yaacob Ibrahim.

Oleh itu, Singapura telah menawarkan bantuan kepada Menteri Negara Sekitaran Indonesia, Encik Rachmat Witoelar, untuk memadamkan kebakaran.

Dr Yaacob berkata Singapura mengiktiraf usaha Indonesia melaksana pelbagai langkah bagi mengurangkan kawasan kebakaran.

'Kami percaya bahawa pemerintah Indonesia jujur dalam memerangi jerebu kerana ia menjejas kesihatan dan kualiti kehidupan rakyat mereka sendiri,' kata Dr Yaacob.

Permohonan tutup jalan demi sukan

POLIS meluluskan sebanyak 37 permohonan untuk menutup jalan raya bagi acara-acara sukan sepanjang tahun lalu.

Dalam lapan bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 22 permohonan telah diluluskan.

Antara lain, penduduk di kawasan Tanjong Rhu terjejas oleh empat penutupan jalan raya tahun lalu dan tiga kali tahun ini.

Baru-baru ini, jalan masuk ke East Coast Parkway ditutup dari Fort Road bagi acara Singapore Bay Run pada 16 Ogos.

No comments:

Posting Terkini