Pages

Friday, December 31, 2010

Rancangan serang bilik berita dipatahkan


COPENHAGEN: Polis di Denmark dan Sweden berkata mereka berjaya mematahkan serangan pengganas dengan menahan lima lelaki yang merancang menyerang bilik berita akhbar yang menyiarkan karikatur Nabi Muhammad saw.
Agensi Perkhidmatan Perisikan Denmark (PET) berkata, empat lelaki ditahan di dua serbuan berasingan di pinggir Copenhagen, hasil operasi risikan selepas beberapa bulan.

Polis turut merampas senjata api dan bahan peledak.

Di Sweden pula, polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun, berasal dari Tunisia tetapi tinggal di Stockholm dan menjadi warga negara itu.


'Kita berjaya mematahkan rancangan serangan pengganas,' kata Ketua Pasukan Perkhidmatan Keselamatan dan Perisikan Denmark, Encik Jakob Scharf, dalam satu sidang akhbar bersama dengan polis Sweden di sini, semalam.Beliau berkata, mereka yang ditahan itu adalah suspek militan yang ada hubungan dengan rangkaian pengganas antarabangsa.

Encik Scharf tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi suspek ditahan selepas ini.

Pihak perisikan Denmark berkata, kumpulan tersebut merancang menceroboh bangunan yang menempatkan syarikat akhbar harian, Jyllands-Posten Daily dan bilik beritanya di Copenhagen, sebelum hujung minggu ini.

Mereka merancang membunuh seramai mungkin mangsa ketika serangan itu, serupa serangan pengganas di Mumbai pada 2008, yang mengorbankan 166 orang.

Penyiaran karikatur Nabi Muhammad saw di media Barat itu pada 2006 telah menimbulkan kemarahan dan ketegangan kalangan umat Islam di seluruh dunia sehingga tercetus demonstrasi besar-besaran.

Menurut PET, empat suspek yang ditahan termasuk lelaki asal dari Tunisia yang berusia 44 tahun; seorang lelaki asal Lebanon berusia 29 tahun; dan seorang lelaki berusia 30 tahun; yang tinggal di Sweden tetapi telah masuk ke Denmark lewat Selasa atau awal Rabu lalu.

Suspek keempat yang ditahan ialah seorang warga Iraq pemohon suaka dan menetap di Copenhagen.

Keempat-empat mereka menghadapi tuduhan awal cuba melancarkan satu serangan pengganas.

'Saya terkejut kumpulan ini mempunyai rancangan melancarkan serangan pengganasan yang serius di negara ini.

'Saya ingin menekankan, di sebalik kejadian hari ini, saya bertekad bahawa pengganasan tidak akan mengubah masyarakat kita yang terbuka dan nilai-nilai kita, terutamanya demokrasi dan kebebasan bersuara,' kata Perdana Menteri Denmark, Encik Loekke Rasmussen.

Ketua polis Sweden, Encik Anders Danielsson, berkata pihaknya telah mengekori sebuah kereta yang disewa oleh tiga suspek dari Stockholm ke sempadan Denmark pada lewat Selasa atau awal Rabu lalu.

'Kami tahu ada senjata dalam kereta itu,' katanya.

Mereka ditahan selepas keluar daripada sebuah apartmen di Copenhagen, dipercayai sama ada untuk melancarkan serangan pengganasan atau menjalankan pengintipan.

Lelaki keempat yang berasal dari Iraq pula ditahan di daerah berasingan di Copenhagen. -- AFP, AP.

No comments:

Posting Terkini