Pages

Tuesday, September 2, 2008

4 formula dekati golongan muda

IPOH 1 Sept. - Barisan Nasional (BN) perlu membentuk satu pendekatan khusus bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada golongan muda untuk bersama-sama dalam proses pembangunan negara.

Ia antara empat formula yang dicadangkan oleh Ketua Puteri UMNO Perak, Dr. Wan Norashikin Wan Nordin, dalam usaha menarik sokongan golongan muda terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, satu pertiga daripada peluang serta ruang dalam parti dan kerajaan wajar diberi kepada golongan muda supaya suara mereka didengar oleh semua pihak dan proses ini perlu dilakukan dengan segera.

''Kita dapati kini tidak berlaku proses penggantian yang sempurna kerana golongan muda terutama daripada kalangan profesional dan berkelayakan tidak diberi tempat yang sewajarnya dalam parti dan kerajaan untuk membolehkan mereka bersuara.

''Apa yang penting ialah kita perlu membaca kehendak golongan ini sebelum membuat sesuatu keputusan yang jitu dan saya sebagai sebahagian daripada golongan itu dapat merasai sedemikian," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan pemimpin parti komponen bahawa BN perlukan format baru untuk menarik sokongan generasi muda.

Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin berkata, format dan pengisian BN perlu diolah semula bagi menarik sokongan generasi muda sekali gus mengekalkan statusnya sebagai parti pemerintah.

Wan Norashikin berkata, formula kedua ialah parti perlu memahami aspirasi golongan muda sama ada di peringkat negeri dan pusat supaya segala kehendak dan keperluan mereka dapat difahami.

Katanya, walaupun Puteri UMNO diwujudkan, ia belum cukup lagi untuk memahami aspirasi mereka.

Beliau berkata, UMNO dan BN juga perlu berubah pendekatan konservatifnya daripada menggunakan media cetak dan elektronik kepada pendekatan siber untuk mendekatkan diri dengan golongan remaja.

''Kita perlu menggunakan pendekatan baru ini terutama di era siber ini dan blog merupakan satu lagi media alternatif dalam mendekatkan diri kepada generasi muda.

''Kita dapati, penggunaan blog-blog ini kini telah dimonopoli oleh pembangkang kerana mungkin memahami kehendak dan keperluan yang mahukan jawapan atau interaksi secara terus," katanya.

UMNO juga katanya, perlu membentuk sistem 'Kawan-Kawan UMNO' bagi menarik lebih ramai generasi muda terutama di kalangan profesional memahami situasi dan keadaan negara yang berlaku sekarang.

''Sebagai contoh melalui sistem 'Kawan-Kawan UMNO' daripada seorang mungkin boleh menarik 20 kawannya yang lain dan daripada 20 orang ini mungkin boleh menarik 200 orang lain untuk bersimpati dengan parti,'' katanya.

No comments:

Posting Terkini