Pages

Tuesday, September 2, 2008

DAP buat laporan polis terhadap Ahmad

PETALING JAYA 1 Sept. - Pemimpin DAP Selangor hari ini membuat laporan polis ke atas Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail berhubung kenyataannya yang bersifat hasutan terhadap kaum Cina.

Setiausaha DAP Selangor, Lau Weng San berkata, laporan polis itu sebagai susulan daripada tindakan Ahmad mengeluarkan kenyataan tersebut yang dilihat boleh menimbulkan kemarahan dan diskriminasi antara kaum di negara ini.

"Kenyataan Ahmad semasa berceramah di Permatang Pauh 25 Ogos lalu adalah satu kenyataan yang tidak adil bagi masyarakat Cina," katanya kepada pemberita di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini hari ini.

Weng San berharap dengan laporan polis itu satu siasatan dan tindakan yang tegas dapat diambil ke atas Ahmad.

"Kita serahkan perkara ini kepada pihak polis untuk mengambil sebarang tindakan," katanya.

Weng San turut melahirkan rasa kesal terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Presiden UMNO, sepatutnya segera menegur ahli parti itu yang bertindak di luas batasan.

"Beliau (Perdana Menteri) sepatutnya mengarahkan Ahmad untuk meminta maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataannya," jelas Weng San.

Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan Weng San membuat laporan polis berhubung kes tersebut.

No comments:

Posting Terkini