Pages

Wednesday, November 25, 2009

Selangor boikot program Biro Tatanegara

SHAH ALAM, Nov 25 — Selangor melarang kakitangan negeri dan anak syarikatnya serta penuntut institusi pengajian tinggi miliknya daripada menyertai kursus dan program kendalian Biro Tatanegara (BTN) berkuat kuasa serta-merta.

Ia diumumkan oleh Dr Halimah Ali selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor itu menggambarkan program-program BTN sebagai "indoktrinasi oleh kerajaan Barisan Nasional."

"Kursus-kursus kendalian BTN menggalakkan sikap perkauman dan anak saya sendiri yang pernah hadir telah diberikan risalah-risalah yang menggalakkan perasaan benci terhadap pembangkang," kata Halimah pada sidang media di sini.

"Program-program ini bukan sesuatu yang positif bagi fikiran anak muda, malah satu pembaziran... wang yang sepatutnya digunakan untuk memupuk perpaduan," kata beliau lagi.

Selangor memiliki beberapa institusi pendidikan tinggi antaranya Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dan Inpens Selangor.

Minggu lalu, sekumpulan wakil rakyat muda Pakatan Rakyat menggesa kerajaan negeri agar henti daripada menghantar pelajar menghadiri program "propaganda" kendalian BTN yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang melahirkan pengalamannya sendiri memberitahu, peserta dimaklumkan bahawa ahli-ahli PKR merupakan ejen Yahudi, DAP ialah parti Singapura manakala PAS pula kumpulan yang menyimpang.

Dalam pada itu, wakil rakyat Batu Caves Amirudin Shari menambah sebahagian besar program BTN tiada kaitan dengan usaha bina negara atau pendidikan tetapi program berkauman Umno-BN di mana peserta dipupuk dengan propaganda Ketuanan Melayu.

Difahamkan kerajaan persekutuan BN sedang merancang untuk menyusun semula kursus-kursus BTN ekoran meningkatnya kritikan sejak kebelakangan ini.

No comments:

Posting Terkini