Pages

Wednesday, November 25, 2009

Akta BNM 2009 kuatkuasa hari ini

KUALA LUMPUR: Akta Bank Negara Malaysia 2009 yang mula berkuat kuasa hari ini, memberikan mandat yang lebih jelas kepada bank pusat dan memberikannya kuasa dan instrumen yang perlu untuk mencapai mandatnya.

Dalam satu kenyataan di sini, Bank Negara berkata, dengan berkuat kuasanya Akta ini, Akta Bank Negara Malaysia 1958 dimansuhkan dan tidak lagi terpakai.

Menurut bank pusat itu, Akta berkenaan akan membolehkannya mengurus risiko dan cabaran yang bakal muncul dengan lebih berkesan dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya sebagai bank pusat negara.

Akta itu juga menyediakan rangka kerja tadbir urus yang lebih kukuh, yang memperuntukkan tahap kebertanggungjawaban dan ketelusan yang tinggi, kata Bank Negara.

"Selain itu, Akta ini menginstitusikan amalan baik yang telah diamalkan pada dekad ini yang terbukti penting dalam mempertingkatkan fungsi dan keberkesanan Bank," katanya.

Matlamat utama Bank Negara ialah untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan.

Matlamat dasar monetari adalah untuk mengekalkan kestabilan harga dan pada masa yang sama memberikan sokongan yang sewajarnya kepada perkembangan ekonomi.

Akta itu menetapkan bahawa dasar monetari akan dirumuskan secara autonomi oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) dan akan dilaksanakan secara berkesan oleh Bank Negara, kata bank pusat itu.

Perlindungan yang sewajarnya telah dimasukkan ke dalam Akta yang meliputi keanggotaan MPC, rangka kerja untuk membuat keputusan dan keperluan ketelusan, penzahiran dan kebertanggungjawaban, katanya.

Menurut Bank Negara, persekitaran ekonomi dan kewangan yang lebih bersepadu dan lebih global telah memberikan cabaran baru kepada Bank dalam melaksanakan peranannya untuk memelihara kestabilan kewangan.

"Dalam penyediaan Akta baharu ini, banyak pengajaran diperoleh daripada krisis kewangan global baru-baru ini dalam rangka kerja pengawalseliaan, pengawasan dan pengurusan krisis kewangan serta keperluan terhadap penyelarasan yang berkesan bukan saja merentas sektor tetapi juga merentas sempadan," katanya.

Kuasa yang khusus bagi kestabilan kewangan berhemat makro, yang pada kelazimannya bukan ciri biasa dalam perundangan tradisional perbankan pusat, kini telah dimasukkan dalam Akta itu, kata Bank Negara.

Peruntukan ini, antara lainnya, menyokong peningkatan pengawasan, jangkauan pengawalseliaan, pengawasan pasaran wang dan pertukaran asing, penyelarasan dengan badan pengawal selia lain, termasuk pencegahan, pengurusan dan penyelesaian krisis merentas sempadan, katanya.

Menurut bank pusat itu, selaras dengan matlamat untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa, Akta ini memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada sistem kewangan Islam di Malaysia.

Akta itu juga telah mempertingkatkan peranan Majlis Penasihat Syariah berkaitan Kewangan Islam bagi memudahkan penerapan perundangan Islam yang konsisten dalam hal-hal berkaitan dengan kewangan Islam, katanya.

Menurut Bank Negara, peranan dan tanggungjawab bank pusat serta kesan dasar dan tindakannya terhadap sistem ekonomi dan kewangan memerlukan rangka kerja tadbir urus yang amat teguh.

"Peranan Lembaga Pengarah telah dipertingkatkan dalam perundangan baharu ini. Lembaga Pengarah akan terus mengawasi pengurusan Bank Negara Malaysia dan akan menilai prestasi Bank," katanya.

Jawatankuasa Tadbir Urus Lembaga, Jawatankuasa Audit Lembaga dan Jawatankuasa Risiko Lembaga telah ditubuhkan bagi membantu Lembaga Pengarah menjalankan tanggungjawab pengawasan ini, katanya.

Bank Negara berkata, akta berkenaan akan menyediakan asas perundangan yang kukuh untuknya melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya dengan berkesan dalam menangani cabaran semasa dan masa depan bagi mencapai kestabilan monetari dan kewangan.

Ia, katanya, adalah untuk pembangunan keseluruhan sistem kewangan yang menyokong kemajuan ekonomi yang mampan. - Bernama

No comments:

Posting Terkini