Pages

Wednesday, November 25, 2009

Peniaga emas Taiwan dirompak AS$2j dalam 30 saat

TAIPEI: Sekumpulan lelaki bersenjata telah melakukan satu rompakan paling besar dalam sejarah Taiwan apabila mereka merampas wang tunai melebihi AS$2 juta ($2.8 juta) daripada seorang peniaga emas, kelmarin.

Rompakan itu, yang disusuli dengan satu pergelutan, hanya mengambil masa 30 saat, kata satu laporan media, semalam.

Ketiga-tiga perompak itu menembak ke arah peniaga tersebut di luar sebuah kedai di bandar Tainan, di selatan Taiwan, sejurus selepas beliau mengeluarkan T$77 juta ($3.3 juta) daripada sebuah peti dalam keretanya, lapor akhbar Apple Daily.

Peluru itu tidak mengenai peniaga itu tetapi terkena kaki anak saudara perempuan beliau, yang kini sedang dirawat selepas menjalani pembedahan.

Perompak itu merampas wang tunai dan terus melarikan diri dalam masa 30 saat sahaja, kata laporan tersebut.

Polis mengesyaki rompakan itu telah dirancang oleh para peniaga emas pesaing yang mempunyai maklumat mengenai perniagaan mangsa, tambah laporan itu.

Jabatan polis bandar Tainan, bagaimanapun enggan mengulas apabila dihubungi agensi berita AFP.

Tiga lelaki bertopeng merompak mangsa berusia 50 tahun itu pada petang kelmarin, kata seorang pegawai penyiasat polis yang mahu dikenali sebagai Encik Chang sahaja.

Lelaki bersenjata itu menghampiri mangsanya yang hanya dikenali dengan nama keluarganya, Tsai, sedang beliau memandu dari bank ke sebuah kedai jam berdekatan, lapor agensi berita Central News Agency, yang dipetik oleh agensi berita Reuters semalam.

Polis sedang memburu ketiga-tiga lelaki itu, sementara menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada. -- AFP, Reuters.

No comments:

Posting Terkini