Pages

Wednesday, November 25, 2009

Dua wilayah selatan Filipina kini kawasan darurat

MANILA: Presiden Filipina, Cik Gloria Macapagal Arroyo, telah meletakkan dua wilayah selatan negara itu di bawah perintah darurat, semalam.

Ini memberikan pasukan keselamatan lebih banyak kuasa menjebak sekumpulan lelaki bersenjata yang membunuh sekurang-kurangnya 35 orang, dalam salah satu kejadian pembunuhan beramai-ramai paling buruk di negara itu menjelang pilihan raya.

Polis memberitahu agensi berita AFP bahawa jumlah kematian akibat serangan itu telah meningkat kepada 35 orang semalam selepas 13 lagi mayat ditemui.

'Kesemua 13 mayat itu telah ditarik daripada satu perkuburan,' kata Ketua Polis Negara, Jeneral Jesus Verzosa, kepada AFP menerusi telefon dari tempat kejadian pembunuhan itu di wilayah Maguindanao.

Langkah darurat yang dikenakan pemerintah Filipina itu - antaranya termasuk membentuk pusat-pusat pemeriksaan dan mengadakan pemeriksaan secara rambang - akan kekal sehingga Presiden Arroyo yakin bahawa keamanan telah dipulihkan di wilayah itu, kata jurucakap presiden itu, Encik Cerge Remonde.

Serangan ke atas satu konvoi kenderaan yang memuatkan para penyokong seorang calon gabenor bersama sanak saudaranya, termasuk isteri beliau dan beberapa orang wartawan, itu berlaku kelmarin.

Calon berkenaan, Encik Ismael Magudadatu, yang tidak bersama konvoi itu, menuding jari ke arah pesaing politiknya, Encik Andal Ampatuan Jr, seorang mayor yang mempunyai kaitan dengan satu kaum kerabat berkuasa, atas kejadian tersebut.

Pemerintah Filipina menekankan bahawa ia akan memburu mereka yang melakukan kesalahan itu, tidak kira apa sahaja yang didedahkan oleh siasatan itu.

'Tidak seorang pun yang tidak akan disentuh,' kata Encik Remonde kepada wartawan, sambil menyifatkan pembunuhan kelmarin sebagai 'tidak berhati perut'. -- AP, AFP.

No comments:

Posting Terkini