Pages

Friday, October 2, 2009

Rakyat Malaysia Hilang Di New Zealand

WELLINGTON, 2 Okt -- Seorang rakyat Malaysia yang sedang bercuti di New Zealand dipercayai hilang selepas tidak pulang dan mendaftar keluar dari sebuah asrama belia yang didiaminya di Aoraki Mount Cook Village, South Island sejak Selasa lepas.

Setiausaha Kedua Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini Dzulkefly Mustapha berkata Wong Ling Kok, 32, dari Taman Bunga Negara, Seksyen 27, Shah Alam, Selangor kali terakhir ditemui pada pukul 4 petang (waktu New Zealand) pada Rabu lepas.

Polis tempatan yang dimaklumkan mengenai Wong yang tidak mendaftar keluar asrama berkenaan setelah mendaftar masuk pada Selasa lepas telah menjalankan usaha mencari dan menyelamat sejak Khamis dan akhirnya menghentikan operasi itu pada petang Jumaat, katanya kepada Bernama di sini , Jumaat..

"Usaha mencari dan menyelamat itu dilakukan di kawasan Southern Alps, kawasan kegemaran bagi mereka yang suka kepada aktiviti menjelajah hutan," katanya.

Beliau berkata polis telah menemubual pelawat kawasan itu dan mengumpul maklumat sebelum membuat keputusan menghentikan operasi berkenaan.

Polis turut menemui beg milik Wong dan beberapa barang peribadinya di dalam bilik yang disewanya itu, katanya.

Dzulkefly berkata Wong dijadualkan mendaftar keluar dari asrama itu Khamis, dan pulang ke Malaysia menerusi penerbangan dari Christchurch, New Zealand ke Melbourne, Australia.

Pihak suruhanjaya telah memaklumkan perkara ini kepada Wisma Putra Khamis dan juga kepada keluarga Wong di Malaysia melalui kakaknya Wong Fui Men awal pagi Jumaat, katanya.

Sementara itu Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke New Zealand Datuk Hasnudin Hamzah berkata pihaknya akan memberikan segala kerjasama kepada keluarga Wong sekiranya mereka mahu datang ke sini.

Beliau berkata kakak Wong ada memaklumkan bahawa beliau berkemungkinan akan datang ke New Zealand.

Sementara itu, Persatuan Wartawan New Zealand (NZPA) melaporkan bahawa polis telah menghentikan usaha mencari warga Malaysia yang hilang di Southern Alps itu, yang dianggap telah mati.

" Beliau dalam keadaan seperti berselubung dan seperti beliau menghadapi masalah pada malam pertama dan "menjadi korban agak awal" akibat hipotermia (pengurangan suhu badan)," kata pengawal insiden itu bagi polis Lake Takepo Konstabel Kanan Brent Swanson.

NZPA juga melaporkan bahawa Swanson berkata usaha mencari akan dijalankan semula jika maklumat baru diperolehi.

Swanson juga dilaporkan berkata bahawa mereka menerima nasihat perubatan bahawa peluang untuk bertahan dalam tempoh 48 jam adalah tipis dan apabila masuk ke dalam kawasan itu dan berada bagi tempoh 48 jam, seseorang itu akan maut.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini