SUBANG JAYA, 3 Okt - Hujan renyai tidak menghalang orang ramai menyaksikan pertunjukan aerobatik pasukan Thunderbirds, Tentera Udara Amerika Syarikat (USAF) sempena Hari Terbuka Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara TUDM di Subang dekat sini.
Orang ramai yang mula membanjiri pangkalan udara itu sejak pukul 8 pagi Sabtu turut berpeluang menyaksikan dengan lebih dekat pesawat tempur SU 30MKM Shukoi milik TUDM.
Pertunjukan dimulakan dengan persembahan udara oleh SU 30MKM Shukoi bagi mempamerkan keupayaan pesawat secara solo yang membuat penonton terpesona dan kemudian disusuli pertunjukan udara oleh lapan pesawat F16 Thunderbirds yang bermula pada pukul 11 pagi.
Walaupun ruang letak kereta di pangkalan itu agak terhad namun ia tidak mematahkan semangat orang ramai berpusu-pusu untuk menyaksikan pertujukan yang jarang-jarang mereka dapat saksikan itu sehingga ada antara mereka yang terpaksa meletakkan kenderaan di luar kawasan pangkalan dan berjalan kira-kira 500 meter.
Tinjauan Bernama mendapati, jalan masuk ke pangkalan udara itu agak sesak dengan kenderaan beratur panjang untuk masuk ke kawasan berkenaan dan ada antara orang ramai yang hanya dapat melihat persembahan udara itu dari luar kawasan pangkalan.
Selain di Pangkalan Udara TUDM, jalan menuju ke Lapangan Terbang Sultan Sallehuddin Abdul Aziz Shah (SAAS) turut sesak akibat orang ramai meletakkan kenderaan mereka di tepi jalan semata-mata untuk menonton pertunjukan udara itu dari jauh.
Turut berangkat menyaksikan pertunjukan itu ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment