Oleh
Abdul Hamid Besih
TINDAKAN kejam polis Israel terhadap penunjuk perasaan rakyat Palestin di Haram As-Sharif (Temple Mount), dekat Masjid Al-Aqsa, Ahad lalu dikutuk Dunia Arab dan umat Islam.
Polis Israel yang menggunakan cotar, gas pemedih mata dan bom kejutan bertempur dengan penunjuk perasaan, yang membalas dengan membaling batu, kerusi plastik dan bom petrol ke arah polis, sebelum membakar tayar untuk menghalang kemaraan polis Israel.
Seramai 30 rakyat Palestin dan sembilan polis Israel cedera dalam pertempuran yang berakhir dengan 21 penunjuk perasaan diberkas.
Israel menuduh rakyat Palestin mencetus kekacauan dengan melempar batu ke atas orang Yahudi yang bersembahyang di Tembok Ratapan (Wailing Wall).
Encik Kamal Khatib, seorang jurucakap Gerakan Islam Arab Israel (IAIM), yang menjadi penggerak tunjuk perasaan kali ini, mempersalahkan polis Israel di atas pertempuran yang berlaku.
'Polis Israel selalu berkata rakyat Palestin yang melempar batu. Jelas, mereka cuma mahu mewajarkan tindakan kejam mereka,' tegas beliau.
Menurut beliau, polis Israel malah menghalang bas yang membawa jemaaah di utara Israel dalam usaha hendak menghalang mereka daripada pergi ke Baitulmakdis.
Punca Tunjuk Perasaan
Rakyat Palestin mengadakan tunjuk perasaan pada Ahad 25 Oktober lalu menyusuli khabar angin aktivis sayap kanan Yahudi hendak berhimpun di Haram As-Syarif.
Kumpulan peneroka dan rabai tegar Yahudi meningkatkan lagi ketegangan Ahad lalu dengan menggesa orang Yahudi berhimpun dan bersembahyang di Haram As-Syarif.
Mereka mendakwa tindakan polis menghalang mereka daripada melawat dan bersembahyang di sana sebagai satu tindakan diskriminasi.
Keganasan pernah berlaku pada 27 September lalu apabila penduduk Palestin melempari pelawat dengan batu kerana menyangka mereka pelampau Yahudi.
Sebenarnya, ketegangan yang berlaku di Baitulmakdis ada kaitan dengan tindakan Israel hendak mengubah status quo kota suci itu.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini Israel melakukan banyak penggalian arkeologi di sekitar kota lama Baitulmakdis dengan tujuan mencari bekas rumah ibadat yang dibangunkan Nabi Sulaiman as sekitar 950 Sebelum Masihi. Ia digelar Haykal Sulaiman (Solomon's Temple).
Menurut sejarah, Haykal I dimusnahkan Kaisar Nebuchadnezzer pada 586 SM. Kemudian di tapak yang sama, dibina pula Haykal II pada 516 SM. Tetapi ia dimusnahkan pula Kaisar Titus pada 70 Masihi.
Mereka mendakwa tapak kedua- dua haykal itu tertimbus di bawah Haram As-Syarif.
Pemimpin Yahudi bercita-cita hendak membangun haykal ketiga di tapak tersebut.
Rancangan Yahudi itu tidak dapat diterima rakyat Palestin dan umat Islam yang menganggap Masjid Al-Aqsa sebagai masjid ketiga paling suci selepas Masjidil Haram di Makkah dan Masjid Nabawi di Madinah.
Mereka bimbang penggalian itu akan melemahkan struktur Haram As-Syarif dan menyebabkan Masjid Al-Aqsa roboh.
Kemarahan mereka semakin memuncak selepas pemerintah Israel merobohkan banyak rumah Palestin dan merampas hartanah di kejiranan Muslim di kota lama Baitulmakdis.
Selasa lalu, pihak berkuasa Israel merobohkan dua lagi rumah rakyat Palestin di Baitulmakdis Timur.
Penguasa perbandaran Israel berkata rumah itu dibina tanpa permit.
Penduduk Palestin berkata permit serupa itu sukar diperolehi. Mereka menuduh Israel sengaja merobohkan rumah penduduk Palestin bagi mengukuhkan cengkaman ke atas wilayah yang mereka duduki.
'Ini sebahagian daripada rancangan Israel hendak mengubah imbangan demografi (di Baitulmakdis Timur),' kata Encik Hatem AbdelQader, daripada pergerakan Fatah, pimpinan Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, yang bertanggungjawab di atas ehwal Baitulmakdis.
Respons Israel
Israel berkata kerja-kerja arkeologi tidak menjejas tapak suci umat Islam.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, menuduh kumpulan pelampau Islam sengaja menyebarkan berita bohong bagi mencetus keganasan.
Reaksi Negara Islam
Syria Isnin lalu menuduh Israel melakukan 'jenayah terhadap tapak suci umat Islam di Baitulmakdis'.
'Israel merancang hendak 'mengyahudikan' Baitulmakdis dan memusnahkan Masjid Al-Aqsa.
'Ini merupakan tindakan jenayah terhadap kesucian dan warisan Arab,' kata Kementerian Luar Syria.
Damsyik menggesa masyarakat antarabangsa mengutuk pencabulan Israel dan bertindak menghentikan tindakan mereka.
Di Istanbul, Turkey, 500 umat Islam berarak membantah keganasan Israel itu. Mereka membakar bendera Israel dekat pejabat Konsul Israel dan memekik slogan 'Kami akan lindungi Masjid Al-Aqsa'.
Di Ankara, Perdana Menteri Turkey, Encik Recep Tayyib Erdogan, turut mengutuk tindakan Israel.
Merujuk kepada Perang Gaza awal tahun ini, beliau berkata Israel menggunakan bom fosforus dalam operasi ketenteraan terhadap kumpulan Hamas di Jaluran Gaza.
'Bom fosforus adalah senjata pemusnah. Berdiam diri mengenainya tidak adil,' tegas beliau.
Terbaru, Kabinet Arab Saudi turut mengutuk tindakan polis Israel ke atas penduduk Palestin di Masjid Al-Aqsa dan Haram As-Syarif.
'Ini keganasan biadab terhadap Masjd Al-Aqsa. Tindakan ini akan membahayakan keamanan dan kestabilan dunia,' kata Kabinet Saudi.
Pertubuhan Muktamar Islam (OIC) memberi amaran bahawa sebarang tindakan provokasi terhadap Masjid Al-Aqsa 'akan membawa akibat buruk.'
Liga Arab pula menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 'menghentikan pencerobohan Israel'.
Mesir menggesa Tel Aviv supaya tidak melakukan tindakan 'yang membawa akibat negatif'.
Reaksi Pemimpin Palestin
Penguasa Palestin menggesa Israel 'menghentikan semua tindakan provokasi' dan memberi amaran 'akibat berbahaya' daripada tindakan tersebut.
'Baitulmakdis satu garis merah yang tak boleh dilampaui,' tegas Encik Nabil Abu Rudeina, jurucakap kepada Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas.
Beliau menggesa masyarakat dunia campur tangan bagi 'mengenakan tekanan ke atas pemerintah Israel'.
Namun reaksi pemimpin Hamas di Jaluran Gaza lebih keras. Mereka menggesa dilancar semula serangan bom nekad ke atas Israel.
'Penentang bersenjata harus bertindak segera melancarkan operasi di Baitulmakdis dan ke atas musuh Zionis,' kata Encik Ahmed Abu Halabeya, pemimpin dan anggota Kabinet Hamas di Gaza.
Reaksi PBB
Setiausaha Agung PBB, Encik Ban Ki-moon, Rabu lalu berkata Baitulmakdis mesti menjadi ibu kota dua negara yang berjiran - Israel dan Palestin.
'Inilah laluan bagi mencapai wawasan Majlis Keselamatan PBB dan Inisiatif Damai Arab,' tegas beliau dalam satu perutusan kepada Forum Antarabangsa Baitulmakdis di Rabat, Mahgribi.
Beliau menegaskan masyarakat antarabangsa tidak mengiktiraf penguasaan Israel ke atas Baitulmakdis Timur, yang hendak dijadikan ibu kota negara merdeka oleh rakyat Palestin.
Senario Masa Depan
Tindakan mantan perdana menteri Israel, Encik Ariel Sharon, melawat Haram As-Sharif pada 2000, ketika beliau menjadi pemimpin pembangkang Israel, telah mencetus pemberontakan atau intifada kedua rakyat Palestin, yang menyaksikan keganasan selama beberapa tahun.
Jika Israel meneruskan provokasi ke atas Masjid Al-Aqsa, pemberontakan serupa itu mungkin berulang.
Apa yang lebih membimbangkan ialah ia bukan saja akan mencetus kemarahan rakyat Palestin, malah umat Islam di seluruh dunia.
Ini kerana Masjid Al-Aqsa dan Haram As-Syarif merupakan tempat ketiga paling suci bagi umat Islam.
Jika masyarakat dunia, terutama PBB dan negara-negara Barat, terus berdiam diri dan tidak bertindak ke atas Israel, mereka mungkin dianggap bersekongkol dengan Israel oleh kumpulan tegar Islam.
Kumpulan militan seperti Hamas di Jaluran Gaza, Hezbollah di Lebanon, Al-Qaeda dan Taleban di Pakistan dan Afghanistan, dan kumpulan militan lain akan mempunyai alasan untuk melancar serangan ke atas kepentingan Israel dan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat, di seluruh dunia.
Jika ini berlaku, dunia akan sekali lagi menyaksikan meningkatnya keganasan bukan saja di rantau Timur Tengah, malah di seluruh dunia.
Sunday, November 1, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment