WASHINGTON: Sehingga 5.7 juta orang di Amerika Syarikat mungkin dijangkiti virus Influenza A (H1N1) dalam tempoh empat bulan pertama virus itu dikesan.
Bilangan itu 100 kali lebih tinggi berbanding apa yang dilaporkan sebelum ini.
Menurut satu kajian yang dijalankan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, bilangan jangkitan H1N1 yang sebelum ini disahkan melalui ujian makmal jauh lebih rendah daripada jumlah sebenar.
Penyelidik menganggarkan antara 1.8 juta dengan 5.7 juta orang di Amerika dijangkiti virus itu dalam tempoh empat bulan pertama bermula April lalu.
Daripada jumlah itu, antara 9,000 dengan 21,000 orang dimasukkan ke hospital.
Walaupun laporan itu tidak meramalkan angka kematian ekoran daripada jangkitan H1N1, ia menganggarkan 6 peratus daripada pesakit yang dimasukkan ke hospital mungkin meninggal dunia dalam tempoh tersebut.
Ini bermakna sekitar 1,200 orang meninggal dunia ekoran daripada virus itu di Amerika semasa wabak itu mula menular.
Angka korban rasmi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa sehingga Julai lalu ialah kurang 300 orang.
'Sebelum ini kami pernah menyatakan bahawa ujian makmal rasmi yang dijalankan hanyalah sebilangan kecil kes yang berjaya dikesan,' kata Pengarah Pusat Imunisasi Nasional dan Penyakit Pernafasan, Cik Anne Schuchat.
Dikhuatiri pihak berkuasa dan prasarana kesihatan tidak akan 'bersedia dalam tempoh jangka peek' bagi menghadapi penularan wabak itu jika jumlah kes yang dilaporkan tidak tepat dan terlalu rendah.
Sebelum ini, pihak berkuasa kesihatan Amerika berkata terdapat kekurangan sehingga 10 juta dos vaksin H1N1 daripada 40 juta dos yang diperlukan menjelang akhir bulan ini.
Sementara itu, pegawai kesihatan Canada memberi amaran bahawa bekalan vaksin bagi virus H1N1 di negara itu tidak akan mencukupi sedang ribuan penduduk setempat beratur mendapatkan suntikan vaksin itu.
Rata-rata klinik setempat melaporkan mereka kehabisan bekalan selang setengah jam sebelum klinik mereka dibuka. -- AFP, Reuters.
Sunday, November 1, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment