NEW YORK: Presiden Mahmoud Ahmadinejad berkata tidak seperti yang dikatakan Presiden Barack Obama, Iran bukan satu ancaman kepada Amerika Syarikat, sebaliknya 'satu peluang'.
Dalam satu wawancara dengan agensi berita The Associated Press (AP) semalam, beliau, bagaimanapun, enggan memberi pandangannya tentang rakan sejawatannya dari Amerika itu.
'Apakah ini satu soalan untuk menguji IQ saya?' katanya semasa menjawab.
Dua pemimpin itu berada di New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tetapi para pegawai Amerika tidak pasti adakah mereka akan bertemu.
Encik Ahmadinejad berkata Encik Obama perlu membuat 'perubahan besar' dalam dasarnya terhadap Afghanistan, Iraq dan Timur Tengah, dan akan mendapati Iran sebagai 'rakan' jika beliau berbuat demikian.
Presiden Iran itu turut berkata bahawa beliau kesal terhadap kematian para pembantah dalam keganasan yang menyusuli pilihan raya presiden negara itu yang dipertikai.
Namun, beliau menafikan pemerintahnya memainkan peranan dalam pembunuhan itu.
Encik Ahmadinejad berkata mereka yang mati itu bukan 'tidak melakukan kesalahan'.
Beliau berkata tanggungjawab bagi kejadian itu harus terletak di bahu ahli politik pembangkang Iran dan ahli politik Eropah dan Amerika, yang menurutnya, mengapi-apikan keganasan itu.
'Kami percaya bahawa apa yang mereka lakukan itu amat salah,' kata beliau.
Menurut Encik Ahmadinejad lagi, beliau akan meminta diringankan hukuman ke atas tiga pengembara Amerika yang didakwa mencerobohi sempadan Iran.
Rakyat Amerika itu melanggar undang-undang dan 'kami tidak senang hal ini terjadi', katanya.
'Apa yang saya boleh minta ialah pihak penghakiman mempercepat prosesnya dan memberinya tumpuan penuh, dan meringankan semaksimum mungkin kes itu,' kata Encik Ahmadinejad.
'Pihak penghakiman mempunyai prosesnya sendiri untuk dipatuhi, tetapi saya berharapan besar,' tambahnya.
Encik Ahmadinejad turut ditanya tentang kes Encik Maziar Bahari, wartawan warga Iran-Canada majalah Newsweek yang dan ditahan semasa membuat liputan mengenai pergolakan sosial di Iran selepas pilihan raya presiden negara itu.
Namun, beliau tidak menjawab mengenai perkara itu. -- AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment