KUALA LUMPUR, 1 Okt- Polis menahan 42 orang termasuk 35 pelacur dalam Ops Noda di Jalan Petaling, Brickfield dan Jalan Sungai Besi, yang merupakan sarang pelacuran di ibu kota malam Rabu.
Pegawai Turus Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) DSP Razali Abu Samah berkata 15 pelacur termasuk seorang "Mak Nyah" ditahan dalam serbuan pertama di dua buah rumah tumpangan di Jalan Petaling pada pukul 5.30 petang.
"Kesemua wanita yang ditahan itu, berumur antara 20 dan 40 tahun itu, adalah warga tempatan," katanya kepada pemberita di sini malam Rabu.
Turut ditahan dalam operasi yang berakhir 3 pagi tadi itu ialah lapan pelacur lain termasuk seorang wanita yang sarat mengandung tujuh bulan di sebuah premis yang berselindung di sebalik kedai kafe siber di Jalan Thambypillay, Brickfields.
Menurutnya, mereka yang berumur antara 20 dan 24 tahun itu semuanya berasal dari Sabah.
Pasukan Polis itu juga menahan 12 pelacur dari China yang berumur antara 25 dan 35 tahun di Jalan Gelang berhampiran Jalan Sungai Besi.
"Semua pelacur itu kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Brickfields mengikut Seksyen 372 (B) Kanun Keseksaan kerana kesalahan menawarkan perkhidmatan seks," katanya.
Tujuh lelaki yang ditahan yang berumur antara 19 dan 50 tahun adalah rakyat tempatan dan empat daripada mereka adalah penjaga pelacur berkenaan, katanya.
Razali yang mengetuai operasi tersebut berkata polis turut merampas 30 mesin judi berkomputer, kondom, gel, dan tisu dalam operasi itu.
"Serbuan itu, dijalankan oleh sepasukan tujuh anggota polis termasuk empat pegawai dari IPKKL bertujuan mengawal kegiatan pelacuran di sekitar ibu kota setelah menerima maklumat daripada orang ramai," jelas beliau.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment