KUALA LUMPUR, 24 Ogos -- Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu menegaskan bahawa pemilihan parti pada 12 Sept ini bukanlah mengenai individu tetapi tentang masa depan MIC dan masyarakat India.
"Saya mewujudkan satu pasukan yang boleh bekerja dan berkhidmat bagi masyarakat India dan mengekalkan rasa hormat dan kerjasama Barisan Nasional dan kerajaan," katanya kepada Bernama dalam satu temuramah.
Samy Vellu berkata beliau merestui penyandang jawatan timbalan presiden Datuk G. Palanivel untuk mempertahankan jawatannya berdasarkan keperibadian Palanivel, latar belakang dan pencapaian prestasinya dalam parti dan kerajaan.
Samy Vellu berkata beliau juga merestui Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K. Devamany dan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M. Saravanan bagi tiga jawatan naib presiden kerana mereka merupakan Anggota Parlimen dan wakil parti di dalam kerajaan.
Menegaskan bahawa Dr Subramaniam merupakan satu-satunya wakil kaum India di dalam Kabinet, beliau berkata menerusi mandat anggota perwakilan, suaranya di dalam Kabinet akan lebih dihormati dan didengar.
"Begitu juga dengan Devamany dan Saravanan yang perlu mendapat sokongan padu MIC untuk mereka melaksanakan tugas dengan lebih baik. Dr Subramaniam, Devamany dan Saravanan meupakan wakil rakyat kita dalam parti bagi melaksanakan tugas-tugas kerajaan," katanya.
Mengenai 27 anggota bagi 23 jawatan dalam Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC), Samy Vellu berkata senarainya terdiri daripada gabungan semua peringkat umur dan kumpulan dalam masyarakat India iaitu Malayali, Telegu dan Sikh.
"Saya mahu CWC mewakili semua keturunan dalam kaum India bagi mengelakkan parti ini daripada dilabelkan hanya mewakili satu kumpulan masyarakat (Tamil)," katanya.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment