Pages

Saturday, August 29, 2009

Pengganas kumpulan Noordin 'lebih besar dan canggih'

JAKARTA: Rangkaian pengganas yang mendalangi serangan bom ke atas dua buah hotel di Jakarta pada 17 Julai lalu 'lebih besar dan canggih' daripada yang difikirkan, menurut Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) yang berpangkalan di Brussels, semalam.

Para penganalisis di ICG berkata kumpulan Al-Qaeda di Kepulauan Melayu yang dipimpin pengganas warga Malaysia, Noordin Mohammed Top, mendapati 'cukup senang' merekrut anggota bagi melancarkan serangan baru.

'Lebih sebulan selepas serangan bom ke atas dua hotel di Jakarta pada 17 Julai lalu, Noordin Mohammed Top masih bebas. Tetapi rangkaiannya ternyata lebih besar dan canggih daripada yang disangka,' kata ICG dalam satu laporan.

'Noordin mungkin masih menjadi ketua tetapi dia mempunyai ramai orang kanan yang cekap, yang membuat kejutan dengan pengeboman hotel berkenaan.'

Serangan bom nekad di Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton yang membunuh sembilan orang, termasuk dua pengebom dan enam warga asing, sekali gus menamatkan keadaan aman di Indonesia selama empat tahun.

Noordin, 41 tahun, dikatakan menerima sokongan Al-Qaeda bagi melancarkan serangan bom ke atas Hotel Marriott, yang membunuh 12 orang pada 2003 tetapi kali ini tidak ada kaitan serupa itu.

Polis berkata mereka membunuh tiga anggota kumpulan Noordin dan menahan lima anggota lain, termasuk seorang wartawan yang dikenali sebagai 'Putera Jihad' dan disyaki menyediakan dana bagi serangan pengganas.

Pegawai-pegawai skuad antipengganas menahan wartawan Mohammad Jibril Abdurahman dekat Jakarta lewat Selasa lalu dan menyerbu pejabat laman webnya, Arrahmah.com.

Polis percaya Mohammad Jibril, yang pernah belajar di Pakistan, ialah rakan subahat lelaki warga Arab Saudi, Al-Khalil Ali, yang ditangkap awal bulan ini kerana disyaki menyeludup wang dari seberang laut untuk membiayai serangan bom nekad pada 17 Julai lalu.

Sumber dana tersebut masih belum diketahui tetapi polis berkata mereka sedang menyiasat sama ada wang itu datang daripada orang pengantara Al-Qaeda di Timur Tengah.

Mohammad Jibril ditangkap kerana disyaki ada kaitan dengan aliran dana pengganasan.

Polis masih menyiasat dari mana dana untuk mendirikan laman web Arrahmah.com diperolehi.

Penganalisis ICG, Cik Sidney Jones, berkata Mohammad Jibril bukan anggota Al-Qaeda terkenal tetapi dikatakan mempunyai hubungan dengan kumpulan Al-Qaeda pada masa yang lalu.

Laman berita kompas.com semalam menyebut bahwa Mohamad Jibril pernah bergabung dengan pertubuhan Al-Ghurabh di Pakistan. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini