WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, berkata operasi ketenteraan di Iraq, Afghanistan dan Pakistan merupakan salah satu usaha Amerika menjalin hubungan baru dengan dunia Islam.
Hubungan Amerika dengan 1.5 bilion masyarakat Islam dunia menjadi buruk selepas Amerika menceroboh Iraq pada 2003.
Dalam ucapan video yang ditujukan kepada masyarakat Islam yang bersiap sedia menjalani ibadah puasa kelmarin, Encik Obama berkata usaha Amerika menamatkan perang di Iraq dan menangani golongan pengganas di Afghanistan dan Pakistan adalah sejajar dengan tanggungjawab Amerika untuk menjadikan dunia ini lebih aman dan selamat.
Menurut Encik Obama, Amerika juga menyokong penubuhan dua negara merdeka, yang mengiktiraf hak Israel dan Palestin untuk hidup aman dan selamat.
'Semua usaha ini merupakan sebahagian daripada komitmen Amerika untuk mendekati golongan Muslim dan negara yang majoriti rakyatnya beragama Islam, berdasarkan kepentingan bersama dan rasa hormat,' kata Encik Obama.
Rakaman video ucapan Encik Obama itu disiarkan di laman web Rumah Putih.
'Saya ingin mengulangi komitmen saya untuk membuka lembaran baru di antara Amerika dengan penganut Islam di serata dunia,' tambah Encik Obama.
Encik Obama berkata ibadah yang diamalkan penganut Islam sepanjang Ramadan merupakan satu peringatan wujudnya persamaan prinsip di antara penganut Islam dengan Kristian.
Prinsip itu termasuk menegakkan keadilan, kemajuan, toleransi dan menjaga maruah setiap insan.
Sejak menjadi Presiden Amerika, Encik Obama telah mengambil tindakan khusus untuk memperbaiki hubungan Amerika dengan dunia Islam. Ini termasuk mengadakan lawatan ke Turkey dan Kahirah.
Lawatan Encik Obama ke ibu kota Mesir pada Jun lalu itu bertujuan memenuhi janjinya untuk menyampaikan ucapan penting di sebuah bandar Islam utama.
Dalam ucapannya di Kahirah dan Turkey itu, Encik Obama menegaskan Amerika bukan musuh Islam dan tidak akan berperang dengan Islam.
Sejak itu, Encik Obama berkata kedutaan Amerika di dunia Islam telah mengadakan rundingan dengan pemerintah dan rakyat di negara berkenaan.
Encik Obama berkata pihaknya kini 'menumpukan perhatian untuk melaksanakan tindakan konkrit.'
'Kami telah mendengar. Kami dengar luahan anda,' katanya. -- AP, AFP.
Monday, August 24, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment