BUKIT MERTAJAM, 24 Ogos -- Beberapa jalan di sekitar pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bukit Mertajam di Jalan Berapit, di sini akan ditutup kepada semua jenis kenderaan mulai pukul 5.30 petang hingga 10 malam, Selasa.
Pegawai Turus Trafik Pulau Pinang DSP Wari Kiew berkata tindakan itu diambil bagi membolehkan urusan membawa masuk peti undi dan proses pengiraan undi bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir yang berlangsung di IKBN berjalan lancar.
"Jalan yang ditutup adalah Jalan Berapit di hadapan perkuburan Cina Berapit dan simpang tiga Jalan Berapit/Jalan Mengkuang," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.
Katanya kenderaan yang datang dari arah pekan Bukit Mertajam atau Bandar Perda akan dilencong ke Jalan Abdul Kadir atau Jalan Tok Elong ke Jalan Tanah Liat, Kubang Semang dan Lebuhraya Butterworth Kulim (BKE).
"Kenderaan dari arah Kulim atau BKE pula akan dilencongkan di simpang tiga Jalan Mengkuang/Jalan Berapit ke Jalan Mengkuang arah ke Kulim bagi mengelakkan kesesakan lalulintas di kawasan IKBN itu," katanya.
Wari berkata polis menyediakan lebih 7,000 tempat meletak kereta di tiga kawasan khas berhampiran IKBN untuk penyokong parti bertanding meletak kenderaan.
Katanya penduduk di kampung yang menetap berhadapan dengan IKBN boleh mendapatkan bantuan polis untuk keluar dan masuk di kawasan itu, bagaimanapun mereka dinasihatkan merancang perjalanan lebih awal pada hari berkenaan.
"Seramai 150 anggota polis trafik akan ditempatkan di beberapa kawasan di sekitar IKBN bagi mengawal lalulintas dan beberapa buah lori penunda disediakan untuk mengalih kenderaan yang didapati menghalang lalu lintas," katanya sambil menambah kenderaan yang menghalang lalulintas akan dibawa ke bilik gerakan Trafik Bukit Mertajam.
Sementara itu kenderaan berat iaitu semua jenis lori enam roda ke atas adalah dilarang masuk ke kawasan Permatang Pasir bermula 11.30 malam ini sehingga proses pengundian selesai 5 petang esok bagi mengelakkan kesesakan lalulintas kerana ia adalah kawasan kampung.
Wari turut menasihatkan penyokong parti yang bertanding supaya melalui laluan masing-masing yang telah dipersetujui untuk ke IKBN iaitu Barisan Nasional (BN) melalui Jalan Tanah Liat atau Jalan Abdul Kadir ke Jalan Berapit manakala PAS Jalan Mengkuang dan BKE ke Jalan Berapit.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment