Pages

Tuesday, June 30, 2009

SEKILAS - DUNIA

Saudi ada terlalu ramai ulama

RIYADH: Pasaran buruh Arab Saudi tidak memerlukan lebih banyak siswazah pengajian Islam kerana negara itu sudah terlalu ramai ulama, kata Encik Mohammed Ali al-Hazaa, seorang ketua di Universiti Jazan di selatan Arab Saudi.

Kenyataannya dijangka mencetuskan tengkarah di kalangan institusi agama negara itu yang menentang usaha pembaharuan bagi mewujudkan sebuah negara moden dan memerangi ideologi militan. -- Reuters.

Penghulu, guru ditemui mati

BANGKOK: Polis Thai berkata beberapa suspek dipercayai daripada kumpulan pemisah telah menembak mati seorang ketua kampung dan seorang guru wanita di wilayah selatan Thailand yang sedang bergolak.

Sarjan Polis Sarawut Suwanmanee berkata Encik Mayuso A-dae, ketua kampung di wilayah Yala, ditembak pagi semalam, manakala mayat Cik Sunee Kaewkongtham ditemui di Narathiwat beberapa jam kemudian. -- AP.

Ganjaran berkas ketua Taleban

ISLAMABAD: Pemerintah Pakistan semalam mengumumkan ganjaran bagi maklumat sehingga tertangkap atau terbunuhnya 11 pemimpin kumpulan Taleban di Pakistan, termasuk ketuanya, Baitullah Mehsod.

Ganjaran 50 juta rupee itu diumumkan dalam iklan sebuah akhbar semalam. -- Agensi.

Iraq batalkan cuti polis

BAGHDAD: Iraq telah membatalkan cuti kesemua anggota polisnya dan meletakkan mereka dalam keadaan berwaspada menjelang penarikan semula askar-askar Amerika Syarikat dari Iraq pada akhir bulan ini.

Pengunduran itu dianggap penting bagi Iraq memulihkan kedaulatannya sejak serangan Amerika bagi menggulingkan bekas presiden Saddam Hussein sekitar enam tahun lalu. -- Reuters.

No comments:

Posting Terkini