TOKYO: Jepun bercadang menghasilkan vaksin flu H1N1 yang mencukupi untuk merawat 20 juta pesakit menjelang akhir tahun ini, lapor akhbar Yomiuri semalam.
Jepun mempunyai 410 kes yang disahkan flu H1N1 tetapi kebanyakan pesakit telah sembuh dan tiada yang menunjukkan simptom serius, kata Kementerian Kesihatan.
Menurut akhbar itu, syarikat pengeluar ubat di Jepun akan mula menghasilkan vaksin pada awal bulan depan dengan suntikan boleh dilakukan sekitar November.
'Institut Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NIID) mungkin dapat membekalkan syarikat pembuat ubat dengan benih vaksin mulai 10 Jun,' kata Menteri Kesihatan Jepun, Encik Yoichi Masuzoe, kepada pemberita.
'Kami perlu melihat bagaimana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan negara lain melakar rancangan mereka. Jadi, saya fikir ia memerlukan lebih banyak masa,' tambah beliau.
Sejauh ini, hanya ada empat badan yang boleh menghasilkan vaksin di Jepun, kebanyakannya pertubuhan penyelidikan dan bukan syarikat farmaseutikal.
Untuk menghasilkan vaksin bagi virus H1N1, mereka perlu mendapatkan bantuan dana atau mengalihkan sumber daripada pengeluaran vaksin bagi flu biasa.
Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Encik Takeo Kawamura, semalam memberitahu satu sidang akhbar bahawa masih terlalu awal bagi Jepun mengisytihar tamatnya penularan H1N1.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata sehingga semalam H1N1 telah menjangkiti 21,940 orang dari 69 negara, dengan kes terbaru H1N1 dilaporkan di Luxembourg, Arab Saudi dan Barbados.
Jumlah korban juga meningkat kepada 125 orang, dengan Chile melaporkan kematian pertama akibat H1N1.
Sementara itu di Australia, kes H1N1 yang disahkan semalam meningkat kepada lebih 1,000 orang, kata Menteri Kesihatan, Cik Nicola Roxon.
Victoria, negeri yang terjejas teruk mengesahkan 122 lagi kes malam tadi menjadikan kesemuanya 874 orang yang dijangkiti H1N1 di negeri itu.
Namun, menurut Cik Roxon, kebanyakan kes adalah 'ringan' dan penularan belum teruk. Jadi, tidak perlu dikenakan larangan perjalanan buat masa ini. -- Agensi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment