Pages

Sunday, June 7, 2009

BEKAS KETUA FIRMA PINJAMAN RUMAH TERBESAR AS DIDAKWA TIPU

SURUHANJAYA Sekuriti dan Tukaran (SEC) Amerika Syarikat semalam mendakwa bekas ketua Countrywide Financial Corp, Angelo R. Mozilo, yang mengendalikan firma pinjaman rumah terbesar di negara itu, dengan penipuan.

Ini menjadikan dia tokoh eksekutif terkemuka yang dikaitkan dengan skandal kewangan subprima di Amerika yang menyebabkan krisis kewangan sejagat.

SEC dijangka mengumumkan hasil siasatannya terhadap peranan firma itu dalam krisis subprima di Amerika itu.

Difahamkan agensi itu, dalam satu kenyataannya, berkata ia akan memberi butir lanjut kes itu dalam satu sidang akhbar di Washington bagi membincangkan kes itu lewat malam tadi, lapor agensi.

Suruhanjaya itu mungkin mendakwa Mozilo menyembunyikan maklumat daripada pelabur mengenai keadaan pinjaman syarikat itu dan menjual saham berdasarkan maklumat dalaman bagi mengelakkan kerugian, menurut sumber terdekat dengan kes itu.

Mozilo, 70 tahun, adalah tokoh eksekutif terkemuka yang dijadikan sasaran pemerintah Amerika dalam mengkaji punca krisis subprima di negara itu.

Sebelum ini, SEC telah mendakwa tokoh terkemuka, Michael Strauss, bekas Ketua Pegawai Eksekutif American Home Mortgage Investment Corp, sebelum syarikat itu menjadi muflis.

SEC juga menyaman pengurus dana perlindungan Bear Stearns Cos, Ralph Cioffi dan Matthew Tannin, tahun lalu kerana mengelirukan pelanggannya mengenai kerugian di syarikat itu.

Mereka tidak mengaku salah terhadap tuduhan jenayah itu.

Jurucakap SEC, Encik John Heine, enggan mengulas sebarang kes itu.

Ketiga-tiga defendan itu dijangka menafikan kes tersebut, menurut sumber terdekat.

Encik David Siegel, peguam Mozila di Irell & Manella LLP di Los Angeles, berkata dalam e-melnya sebelum pengumuman SEC itu, 'kami tidak mahu mengulas mengenai berita angin itu. Tiada asas bagi tuduhan tersebut'.

Mozilo telah membentuk syarikat itu pada 1969 dan menjadikannya firma pinjaman terbesar, membantu dalam masalah subprima di Amerika dengan memberi pinjaman kepada pelanggan yang kurang upaya membayar balik.

Pinjaman hangus yang bertambah telah menyebabkan harga saham syarikat itu menjunam, menyebabkan ia terpaksa dijual kepada Bank Of America tahun lalu, lapor Bloomberg.

No comments:

Posting Terkini