KITA berada dalam tempoh amat tegang antara Amerika Syarikat dengan Muslim di seluruh dunia - ketegangan yang berakar daripada unsur sejarah yang melampaui bahas dasar yang ada kini.
Serangan 11 September 2001 dan usaha berterusan golongan pelampau yang menggunakan keganasan menyebabkan watan saya menilai Islam sebagai memusuhi bukan saja pada Amerika dan Barat, malah hak asasi manusia.
Saya berada di Kahirah untuk mencari permulaan baru antara Amerika dengan Dunia Muslim, berdasarkan kepentingan dan rasa hormat bersama dan kebenaran.
Amerika dan Islam berkongsi prinsip serupa - keadilan dan kemajuan, toleransi dan maruah semua insan.
Al-Quran menyatakan: 'Sedarilah akan Tuhanmu dan sentiasa berkata yang benar.' Itulah yang ingin saya capai sedaya upaya.
ISU EKSTREMIS
Pertama-tama isu yang perlu kita hadapi ialah gerakan ekstremis yang ganas dalam apa jua bentuk. Di Ankara, saya menjelaskan bahawa Amerika tidak pernah dan tidak akan memerangi Islam. Namun, kami akan gigih menangani pelampau ganas yang mengancam keselamatan kerana kami menolak hal serupa dengan semua pemeluk agama - membunuh yang tidak berdosa.
Al-Qaeda membunuh hampir 4,000 jiwa pada hari itu (11 September 2001) - mangsanya ialah lelaki, wanita dan anak-anak yang tidak berdosa.
Kami tidak berniat menyimpan tentera kami di Afghanistan. Kami ingin membawa pulang setiap askar kami. Kami belum lagi yakin bahawa tiada lagi pelampau ganas di Afghanistan dan kini pula di Pakistan.
Itulah sebabnya kami berkongsi dengan gabungan 46 negara. Kumpulan pengganas telah melakukan pembunuhan di banyak negara. Mereka membunuh anggota pelbagai kaum dan mereka juga membunuh Muslim.
Al-Quran mengajarkan bahawa sesiapa yang membunuh mangsa tidak berdosa sama seperti ia membunuh kemanusiaan.
Kita tahu bahawa kekuatan tentera sahaja tidak akan menyelesaikam masalah di Afghanistan dan Pakistan. Itu sebabnya kami melabur AS$1.5 bilion ($2.17 bilion) dalam tempoh lima tahun mendatang bekerjasama dengan Pakistan untuk membina sekolah, hospital, jalan raya dan mereka yang hilang tempat tinggal.
Sebab itu kami menyediakan lebih AS$2.8 bilion untuk membantu Afghanistan membangunkan ekonomi mereka dan memberi khidmat kepada orang ramai.
Tidak seperti Afghanistan, Iraq adalah peperangan yang menimbulkan perbezaan pendapat di negara saya dan di serata dunia. Walaupun saya percaya bahawa rakyat Iraq adalah lebih baik tanpa pemerintahan kejam Saddam Hussein, saya juga percaya bahawa kes di Iraq telah mengingatkan Amerika tentang perlunya menggunakan diplomasi dan membangunkan persetujuan antarabangsa demi menangani masalah kita selagi mampu.
Hari ini Amerika mempunyai dua tanggungjawab: membantu Iraq agar mempunyai masa depan lebih baik - dan membiarkan Iraq kepada watannya. Dan sebab itu saya mengarahkan pengunduran briged tempur kami menjelang Ogos depan.
ISU ISRAEL-PALESTIN
Sumber ketegangan kedua adalah mengenai Israel, Palestin dan Dunia Arab. Hubungan kukuh Amerika dengan Israel memang telah lama diketahui dan tidak akan dapat diputuskan. Ia berdasarkan hubungan budaya dan sejarah serta pengiktirafan berkaitan aspirasi bagi sebuah tanah kaum Yahudi adalah dari sejarah tragik yang tidak boleh dinafikan.
Mengancam Israel dengan kemusnahan adalah salah dan hanya mencetus reaksi pada minda penduduk Israel tentang sejarah pahit mereka selain mencegah keamanan yang telah lama didambakan rantau itu.
Pada masa yang sama, tidak boleh dinafikan bahawa orang Palestin - Muslim dan Kristian - telah lama menderita demi menubuhkan sebuah tanah air. Lebih 60 tahun mereka menderita dek ketiadaan watan mereka sendiri.
Justeru, tidak harus ada sebarang kesangsian: Keadaan penduduk Palestin tidak boleh diterima. Dan Amerika tidak akan membiarkan aspirasi sah penduduk Palestin bagi menubuhkan negara mereka sendiri.
Satu-satunya huraian adalah bagi aspirasi kedua-dua pihak untuk dipenuhi dengan dua negara, di mana penduduk Israel dan Palestin dapat tinggal secara aman dan selamat.
Ini adalah demi kepentingan Israel, Palestin, Amerika dan juga dunia. Dan itulah sebabnya saya akan secara peribadi mengejar pencapaian huraian ini dengan tabah dan dedikasi yang diperlukan dalam tugas ini.
ISU HAK MILIKI SENJATA NUKLEAR
Sumber ketegangan ketiga adalah kepentingan bersama kita tentang hak dan tanggungjawab negara-negara berkaitan senjata nuklear.
Telah sekian lama Iran memberi tentangan terhadap negara saya dan memang ada sejarah bergelora di antara kita.
Saya akui adalah sukar mengatasi rasa tidak percaya yang telah wujud berdekad lamanya tetapi kita akan menghadapinya dengan berani, jujur dan azam tinggi. Akan ada banyak isu yang dibincangkan antara kedua-dua negara ini dan kami bersedia bergerak ke depan tanpa sebarang pra-syarat dan berdasarkan sikap saling hormat menghormati.
Tetapi adalah jelas kepada semua dalam soal senjata nuklear kita telah mencapai keputusan jelas. Ia bukan sekadar kepentingan Amerika. Ia demi mencegah perlumbaan senjata nuklear di Timur Tengah yang boleh membawa rantau ini dan juga dunia ke arah laluan bahaya.
ISU KEBEBASAN AGAMA
Islam mempunyai tradisi membanggakan berkaitan toleransi. Kita melihat sejarah Andalusia dan Cordoba. Saya pula sendiri melihatnya sebagai kanak-kanak di Indonesia di mana penganut Kristian bebas bersembahyang dalam sebuah negara majoriti Muslim. Inilah semangat yang kita perlukan hari ini.
Penduduk di setiap negara harus bebas memilih dan mengamalkan agama mereka. Toleransi ini penting bagi amalan beragama namun ia selalu dicabar dengan pelbagai cara.
Di kalangan sebilangan Muslim terdapat trend membimbangkan untuk mengukur tahap keyakinan seseorang dengan penolakan agama orang lain. Kekayaan kerencaman agama mesti dipertahankan.
Dan jika kita bercakap secara terus terang, jurang pemisahan mesti dirapatkan dalam kalangan Muslim seperti pemisahan antara Sunni dengan Syiah yang mengakibatkan keganasan tragik khususnya di Iraq.
ISU PELUANG DAN PEMBANGUNAN EKONOMI
Banyak negara Teluk yang meraih kekayaan hasil minyak dan ada yang mula fokus kepada pembangunan lebih luas. Tetapi kita semua mesti mengenal pasti bahawa pendidikan dan inovasi akan menjadi 'mata wang' penting dalam abad ke-21 dan di terlalu banyak masyarakat Muslim, terdapat kekurangan pelaburan dalam bidang ini.
Dan jika sebelumnya Amerika terlalu fokus kepada minyak dan gas apabila berurusan dengan rantau sebelah sini, kita mahu meluaskan kerjasama.
Dalam bidang pendidikan, kita akan meluaskan program pertukaran dan menambah bilangan biasiswa. Kami akan menggalakkan lebih ramai warga Amerika belajar di kalangan masyarakat Muslim. Dan kami akan memadankan pelajar Muslim yang berpotensi untuk bekerja sambil belajar di Amerika.
RUMUSAN
Saya tahu terdapat ramai Muslim dan bukan Muslim yang mempersoal sama ada kita boleh membangunkan permulaan baru ini. Ada yang ghairah memecahbelahkan dan menghalangi kemajuan.
Ada yang menyarankan ia perbuatan sia- sia dan kita memang ditakdirkan untuk tidak sehaluan dan tamadun akan bertelagah. Banyak lagi yang bersikap skeptik tentang perubahan sebenar yang boleh berlaku.
Terdapat terlalu banyak ketakutan dan rasa tidak saling yakin yang terbina sejak sekian lama. Tetapi jika kita memilih untuk terus mengikuti jalan yang lama, kita tidak akan dapat maju. Dan saya ingin katakan khususnya kepada golongan muda dalam setiap agama, di setiap negara, bahawa anda, lebih daripada yang lain, mempunyai keupayaan mereka semula dunia ini.
Kita mempunyai kuasa membina dunia yang kita inginkan tetapi hanya jika kita mempunyai keberanian membangunkan satu permulaan baru.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment