Pages

Monday, May 18, 2009

Wanita di Johor disah negatif H1N1

JOHOR BAHRU: Seorang penumpang wanita penerbangan MH091 yang dikuarantin di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini semalam selepas mengalami demam, disahkan negatif virus Influenza A (H1N1).

Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Dr Mohd Khairi Yakub berkata wanita itu kini ditempatkan di wad biasa dan dijangka dibenar pulang dalam masa terdekat.

Sebelum ini, wanita itu dikuarantin di rumahnya di sini dengan tiga lagi penumpang pesawat yang sama, iaitu dua lelaki dan seorang wanita sejak Jumaat.

"Tiga lagi penumpang itu akan dikuarantin di rumah sehingga Rabu," katanya.

Malaysia mencatat kes H1N1 pertama apabila seorang penuntut berusia 21 tahun yang menaiki penerbangan Malaysia Airlines MH091 dari Newark, New Jersey, ke KLIA melalui Sweden pada 13 Mei didapati dijangkiti virus itu.

Sementara itu, Dr Mohd Khairi berkata dua rakyat asing yang bercuti di sebuah pulau di negeri ini, dikuarantin di hotel penginapan mereka sejak Sabtu.

Setakat ini mereka tidak menunjukkan tanda-tanda dijangkiti virus itu, tetapi jabatan kesihatan akan terus membuat pemerhatian rapi, katanya. BERNAMA

No comments:

Posting Terkini