Dua wartawan AS akan dibicara Korea Utara
SEOUL: Dua wartawan rakyat Amerika Syarikat, yang diberkas dua bulan lalu di tebing Sungai Tumen, dekat sempadan Korea Utara dengan China, akan dibicarakan pada 4 Jun ini.
Mereka menghadapai pertuduhan masuk secara haram dan melakukan 'tindakan permusuhan', lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) semalam.
Dua wartawan Current TV, Cik Euna Lee, yang berketurunan Korea, dan Cik Laura Ling, yang berketurunan Cina, sedang menyiapkan laporan mengenai pelarian Korea Utara di China ketika mereka ditangkap. -- AP, AFP.
Lagi wilayah Vietnam dilanda flu burung
HANOI: Sebuah lagi wilayah di barat daya Vietnam, Dong Thap, disahkan dilanda flu burung, lapor Jabatan Kesihatan Haiwan negara itu semalam.
Flu burung itu menular di sebuah ladang pada 10 Mei lalu, menyebabkan 49 daripada sejumlah 142 ekor itik mati, kata laporan itu.
Vietnam sejauh ini melaporkan tiga wilayah dilanda flu burung, termasuk wilayah Thanh Hoa, Quang Ngai dan Dong Thap di Delta Mekong, kata jabatan itu. -- Agensi.
Askar Pakistan bunuh hingga 60 gerila Taleban
ISLAMABAD: Askar Pakistan membunuh sekurang-kurangnya 60 gerila Taleban dalam satu serangan helikopter di Lembah Swat, barat laut Pakistan, lapor agensi berita Fars semalam.
Para pegawai perisikan diberitahu beberapa jam sebelumnya bahawa Taleban telah mendiami rumah seorang datuk bandar.
Askar Pakistan menyerang rumah itu dengan helikopter penggempur.
Perdana Menteri, Syed Yousaf Raza Gilani, semalam memberi amaran Pakistan boleh menumpaskan gerila Taleban tetapi ia akan kehilangan sokongan rakyat jika 800,000 pelarian tidak diberi bantuan. -- Reuters, Bloomberg.
No comments:
Post a Comment