Pages

Wednesday, May 20, 2009

OBAMA DAN NETANYAHU SUKAR SEPAKAT

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, dan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, masing-masing mengemukakan pendekatan berbeza-beza mengenai isu Iran dan matlamat Amerika mewujudkan sebuah negara Palestin dalam mesyuarat pertama mereka semalam.

Membentangkan ulasan-ulasan berterus terang dalam mesyuarat mereka selama lebih tiga jam itu, Encik Netanyahu menawarkan peluang perbincangan 'segera' dengan rakyat Palestin, tetapi belum menunjukkan sokongannya terhadap gesaan Encik Obama bagi satu 'penyelesaian dua negara'.

Kedua-dua pemimpin itu juga berbincang mengenai Iran, dengan Encik Obama mempertahankan strategi diplomatiknya dengan negara Teluk itu.

Encik Netanyahu pula menyuarakan kebimbangannya kepada para wartawan bahawa Teheran yang bersenjatakan kuasa nuklear akan menjadi ancaman besar kepada Israel.

Mesyuarat pertama yang amat penting antara kedua-dua pemimpin baru itu adalah usaha paling sukar bagi Encik Obama untuk mewujudkan kedamaian di Timur Tengah.

Selepas perbincangan itu, Encik Obama berkata beliau 'yakin' terhadap kemungkinan tercapainya kemajuan berhubung persoalan Israel-Palestin itu.

Masyarakat antarabangsa berminat mencapai 'satu penyelesaian dua negara di mana rakyat Israel dan Palestin dapat hidup bersama sebelah-menyebelah dalam suasana aman damai dan selamat', kata beliau sambil merujuk kepada Israel sebagai sebuah 'negara Yahudi'.

Encik Obama juga berkata bahawa rakyat Palestin harus menjalankan 'tugas lebih baik' dalam menyediakan jaminan keselamatan, serta menggesa negara-negara Arab lebih 'menonjol' dalam memulihkan hubungan mereka dengan Israel.

Encik Netanyahu, yang menyifatkan pertemuannya itu sebagai satu 'tanda persahabatan yang luar biasa', tidak menggunakan istilah 'negara Palestin'.

Beliau sebaliknya memberi amaran bahawa istilah tersebut tidak harus digunakan secara keterlaluan.

'Saya mahu menjelaskan bahawa kami tidak mahu mentadbir rakyat Palestin - kami mahu hidup dalam suasana aman damai bersama mereka,' kata Encik Netanyahu.

'Kami mahu mereka mentadbir diri mereka sendiri (tanpa) segelintir pemilik kuasa yang mengugat negara Israel,' tambah beliau, sambil memberi contoh tentang kawalan ruang udara dan daerah-daerah kebimbangan lain berkaitan keselamatan.

Rakyat Palestin pula mengutuk sikap Encik Netanyahu kerana gagal menyokong pembentukan sebuah negara Palestin yang hidup berjiran dengan Israel, yang menjadi asas kepada usaha ke arah mewujudkan kedamaian sejak hampir dua dekad lalu.

'Disebabkan kegagalan (beliau) untuk menyokong penyelesaian dua negara itu, Benjamin Netanyahu kehilangan satu lagi peluang untuk menunjukkan bahawa beliau mahu menjadi rakan sejati perdamaian,' kata seorang perunding utama Palestin, Encik Saeb Erakat, dalam satu kenyataannya.

Kedua-dua pemimpin - Encik Obama dan Encik Netanyahu - juga berbeza pendapat mengenai isu pembinaan dan perluasan penempatan orang Yahudi di Tebing Barat. -- AFP.

No comments:

Posting Terkini