Pages

Wednesday, May 20, 2009

AS HARAP PERKUKUH BOSNIA

SARAJEVO: Naib Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, tiba di Bosnia semalam dengan harapan memperkukuh negara yang dilanda ketidakstabilan dan perpecahan etnik 14 tahun selepas berakhirnya konflik paling buruk di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.

Amerika telah menjadi perantara dalam perjanjian damai pada 1995 yang menamatkan perang tersebut, yang telah mengorbankan 100,000 jiwa.

Bagaimanapun, walaupun telah ditadbir di bawah sebuah pemerintahan pusat, negara itu masih berpecah antara dua bekas musuh - puak Serb-Bosnia dan persekutuan Croatia-Islam.

Ramai diplomat dan pakar menganggap Bosnia sebagai kawasan paling tidak stabil di rantau Balkan, di mana masalah yang dihadapinya mungkin memperlahankan hasrat bersama rantau itu untuk membentuk Kesatuan Eropah.

Para pegawai Amerika berharap lawatan Encik Biden ke Bosnia, menjelang lawatannya ke Serbia dan Kosovo, akan menunjukkan sokongan kepada negara yang sedang menghadapi kerumitan ekonomi dan politik semakin meruncing sejak beberapa bulan lalu.

'Hakikat bahawa naib presiden akan pergi melawat adalah bukti bahawa kami menunjukkan minat dalam rantau itu, bermula dengan Bosnia,' kata seorang pegawai kanan Amerika, dengan syarat namanya tidak didedahkan, kepada para pemberita sebelum lawatan tersebut.

'Naib presiden akan menekankan kepada para pemimpin yang ditemui beliau, daripada semua pihak, tentang keperluan bekerjasama di kalangan pelbagai etnik untuk membina kesepakatan mengenai pembaharuan masa depan,' jelasnya.

Masyarakat antarabangsa mengekalkan kuasa mutlak di Bosnia di bawah seorang pegawai yang boleh mengubah undang-undang atau memecat para pegawai yang dilihat mengugat perjanjian damai Dayton 1995.

Para diplomat berharap dapat melepaskan kuasa pengawasan itu sejak beberapa tahun lalu, tetapi belum berbuat demikian di tengah-tengah kebimbangan mengenai sifat pendesak puak Serb-Bosnia ketika persekutuan Croatia-Islam di negara itu sedang menghadapi suasana bercelaru. -- Reuters.

No comments:

Posting Terkini