Pages

Thursday, April 23, 2009

OBAMA UNDANG PEMIMPIN PALESTIN DAN ISRAEL KE AS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, kelmarin mengundang para pemimpin Israel, Mesir dan Palestin ke Rumah Putih bagi rundingan secara berasingan sepanjang enam minggu mendatang mengenai proses damai Timur Tengah.

Selepas menyambut Raja Abdullah II bagi Jordan di Pejabat Oval Selasa lalu, Encik Obama mengundang Encik Netanyahu, Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas; dan Presiden Mesir, Encik Hosni Mubarak; ke Rumah Putih, kata jurucakap Presiden Obama, Encik Robert Gibbs.

'Harapan saya ialah sepanjang beberapa bulan mendatang kita akan melihat isyarat keyakinan daripada semua pihak,' kata Encik Obama kepada pemberita selepas pertemuan dengan Raja Abdullah II.

Raja Abdullah pula berkata: 'Saya mengadakan perbincangan yang berguna pagi tadi dengan Presiden Obama.'

Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, berkata beliau dan Raja Abdullah II akur mengenai 'huraian dua negara' bagi pertikaian Timur Tengah.

Encik Gibbs berkata besar kemungkinan lawatan berasingan para pemimpin Arab dan Israel ke Rumah Putih itu akan berlangsung sebelum Encik Obama melawat Normandy Jun ini.

Semalam, seorang pegawai kanan Palestin berkata, Encik Abbas akan bertemu Encik Obama di Washington bulan depan.

'Pertemuan antara Presiden Abbas dengan Presiden Obama dijadual berlangsung pada 28 Mei di Washington,' kata perunding kanan Palestin, Encik Saeb Erakat.

Israel semalam berkata ia tidak akan merundingkan isu-isu utama dengan Palestin sehingga ia melihat kemajuan dalam usaha Amerika hendak mencegah Iran daripada memiliki senjata nuklear.

'Ia satu syarat penting jika rundingan hendak mencapai kemajuan,' kata Timbalan Menteri Luar Israel, Encik Daniel Ayalon. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini