KETUA pakatan pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam berkata para penduduk di kawasan Parlimen Bukit Gantang harus mengundi bekas menteri Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang juga calon Parti Islam SeMalaysia (PAS).Ini kerana Datuk Seri Mohammad Nizar tidak menderhaka kepada Sultan Perak, kata pemimpin Pakatan Rakyat itu.
Sambil menyifatkan Datuk Seri Mohammad Nizar sebagai 'Panglima Paduka Tun Perak', Datuk Seri Anwar berkata para penduduk Bukit Gantang harus mengundi dan membela calon PAS itu dalam pilihan raya kecil esok.
Datuk Seri Anwar berkata Datuk Seri Nizar dituduh sebagai seorang 'penderhaka' oleh Barisan Nasional (BN) untuk memfitnahnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam apa yang asalnya disebut sebagai majlis 'Dialog dengan Warga Guru' di Dewan Orang Ramai Air Kuning, tetapi Datuk Seri Anwar dan Datuk Seri Nizar terpaksa meninggalkan sesi itu selepas masing-masing memberi ucapan ringkas kerana memenuhi jadual kempen mereka di tempat lain.
Datuk Seri Anwar melawat ke kawasan Parlimen Bukit Gantang untuk membantu jentera PAS berkempen di kawasan itu.
Di tengah-tengah laungan 'reformasi' para penyokongnya yang memenuhi dewan tersebut, Datuk Seri Anwar berkata kerajaan Perak di bawah pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar harus dikembalikan.
Semasa berucap, Datuk Seri Mohammad Nizar menjelaskan bahawa kata-kata 'patek mohon derhaka' yang diucapkan di depan Sultan Azlan Shah semasa beliau enggan meletakkan jawatannya apabila dititah berbuat demikian oleh Sultan Perak adalah bahasa wajar yang digunakan untuk menyatakan perbezaan pandangannya.
Menurutnya, parti-parti komponen BN dan Umno telah memutar-belitkan fakta dan memaparkan beliau sebagai orang yang telah mengkhianati bangsa Melayu.
Datuk Seri Nizar akan menentang calon BN, Encik Ismail Saffian, dan seorang calon Bebas, Encik Kamarul Ramizu Idris, untuk merebut kerusi Parlimen Bukit Gantang.
No comments:
Post a Comment